Christopher Case: Mangsa Sihir?





Kematiannya penuh misteri tetapi di mata sains, ia dijelaskan sebagai penyakit biasa yang telah mengorbankan berjuta orang di seluruh dunia. Menurut pakar bedah siasat Rich Garner, Christopher Case meninggal dunia akibat “acute myocarditis” - radang jantung.

Walau bagaimanapun, sepanjang hidupnya Christopher dikatakan menjalani kehidupan yang sihat. Ahli keluarga dan rakan-rakannya tidak pernah melihat lelaki itu merokok ataupun mengambil dadah. Malahan, dia tidak pernah meminum arak.

Namun, dia ditemui mati pada usia 35 tahun.

Ada yang berpendapat ahli sukan yang masih muda dan kuat juga berisiko diserang penyakit jantung. Selalunya penyakit jantung yang diwarisi dalam keluarga.

Apapun, keluarga Christopher tiada sejarah penyakit tersebut di kalangan mereka.

Dan ada satu lagi perkara yang aneh berkenaan kematiannya – dia sendiri tahu yang ajal semakin menghampirinya.

Pada April 1991, Christopher Case dalam kebimbangan. Dia percaya yang dirinya hanya mempunyai tempoh satu minggu lagi untuk hidup.

“Mereka sedang memburuku,” katanya kepada salah seorang rakan, Sammye Souder di North Carolina ketika membuat panggilan dari flatnya di Seattle. “Aku sangat, sangat takut. Aku akan mati.”

Tidak lama selepas itu, Christopher menghubungi seorang lagi rakannya di North Carolina, dan sekali lagi menyuarakan ketakutannya.

Namun, tiada siapa mendengar sebarang berita dari Christopher Case untuk beberapa minggu kemudian.

Bimbang akan keselamatannya, rakan-rakan Christopher pun menghubungi pihak polis Seattle. Setibanya polis di flat Christopher, mereka mendapati pintunya berkunci. Tiada sahutan dari dalam apabila mereka memanggilnya.

 Keesokan harinya, pihak polis datang lagi untuk memeriksa keadaan lelaki itu. Kali ini pintu hadapan terbuka. Christopher ditemui sudah meninggal dunia di dalam flatnya – Berpakaian lengkap dan terbaring di dalam tab mandinya yang kosong dan kering.


Gambar hiasan


 Di sekeliling mayatnya, terdapat 10 cairan lilin dan juga beberapa salib dilekatkan pada setiap permukaan dalam rumah. Pihak polis juga mengesan garam yang ditaburkan pada dinding dan pintu, ada juga digunakan untuk menghasilkan bentuk geometri pada lantai pintu masuk.

Buku-buku berkaitan dengan ilmu sihir, ilmu hitam dan ajaran dunia ghaib turut dijumpai di dalam flat tersebut. Selain itu, beberapa pucuk surat tulisan Christopher yang tidak pernah dikirim kepada sesiapa. Di dalam surat-surat itu, dia menyatakan bahawa dirinya telah disumpah.

Setelah autopsi dijalankan, tiada sebarang bukti menunjukkan ke arah perbuatan khianat. Walau bagaimanapun, penyiasat mula mengkaji lebih jauh dan meneliti kehidupan peribadi Christopher.

Mereka berjaya memperolehi petunjuk baru – Petunjuk yang mengejutkan.

Beberapa bulan sebelum kematiannya, Christopher telah pergi ke San Francisco atas urusan kerja. Dia adalah seorang pengarah aturcara di salah sebuah syarikat muzik di Seattle bernama Muzak. Namun, lelaki itu dikatakan lebih berminat dengan muzik zaman purba. Oleh kerana minat itulah ketika di San Francisco, Christopher berkenalan dengan seorang wanita sedikit berumur yang mengakui dirinya sebagai seorang pakar muzik Mesir purba, dan juga seorang ahli sihir.

Christopher tidak percaya akan kewujudan ahli sihir, tetapi ada sesuatu pada diri wanita itu yang menakutkannya. Jadi apabila wanita tersebut cuba menggodanya, Christopher menolak.

Sebaik saja lelaki tersebut tiba di rumahnya, dia mula yakin wanita itu telah meletakkan sumpahan ke atas dirinya. Christopher merasakan wanita itu berdendam apabila dia enggan melayan godaannya.

Pada waktu itulah dia memberitahu rakan-rakannya bahawa kehidupannya dalam terumbang-ambing.

“Dia meninggalkan satu pesanan kepada saya Isnin minggu lepas,” kata Sammye tidak lama selepas mayat Christopher ditemui. “Katanya, dia sedang ketakutan dan ahli sihir itu muncul setiap malam, mencederakannya. Christopher juga mengatakan setiap kali bangun tidur, terdapat luka-luka kecil di jari jemarinya.”

Selain itu, Christopher memberitahu rakan-rakan, tiap-tiap pagi dia bangun dan mendapati tubuh badannya dipenuhi dengan lebam. Dia turut mendakwa pernah melihat beberapa bayang-bayang hitam berlegar-legar di rumahnya.

Salah seorang rakan yang pernah ditelefonnya, ingat tentang perbualan mereka di mana Christopher bercadang untuk menginap di hotel buat sementara waktu. Dia juga berhasrat untuk mengupah seseorang bagi ‘melawan’ ahli sihir tersebut.

Penjelasan mengenai garam di flat Christopher? Sejak dari dulu lagi, garam telah digunakan sebagai perlindungan daripada fenomena paranormal dan psikik. Christopher maklum akan petua itu melalui buku-buku yang dibacanya. Garam, bersama-sama dengan salib adalah salah satu langkah untuk melindungi dirinya daripada si ahli sihir.

Ternyata di penghujung nyawanya, dia amat percaya kewujudan kuasa sihir dan alam ghaib. Walau bagaimanapun, bagaimana seorang lelaki yang berkerjaya dan profesional sangat yakin yang dirinya disumpah?

Apa yang menyebabkan jantung seseorang yang sihat dan aktif serta tanpa sejarah penyakit serius di dalam keluarganya, tiba-tiba terhenti? Adakah ia sumpahan seperti diperkatakan, atau Christopher mangsa kepercayaannya sendiri dan mati akibat ketakutan yang melampau?

Tiada siapa yang rapat dengan Christopher tahu identiti wanita misteri di San Francisco. Adakah dia benar-benar seorang ahli sihir yang berkuasa?

Apa yang pasti, ahli sihir itu kekal misteri. Christopher Case membawa identitinya bersama-sama ke kubur.





Sumber:


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Matinya Si Superman

Kes Glico-Morinaga: Lelaki Raksasa Dengan 21 Wajah

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf