Margaret Clement: Si Wanita Paya





Kisah hidup Margaret Clement seperti cerita dongeng, tetapi terbalik: kehidupan yang tenang dan gembira pada mulanya, namun berakhir dengan penuh kesedihan dan tragik.

Ayahnya, Peter Scott Clement Jr, adalah kisah klasik insan miskin yang akhirnya kaya dan berjaya. Peter adalah seorang buruh daif berbangsa Scotland, berhijrah ke Australia pada 1850an bersama-sama adik beradiknya dengan harapan untuk mengubah nasib mereka. Dan dia benar-benar berjaya mencapai impiannya itu. Pada saat kematiannya, Peter Clement adalah salah seorang lelaki terkaya di Australia – Hasil usahanya yang bermula sebagai penjaga kerbau dan seterusnya berkecimpung dalam pelaburan hartanah dan emas.

Walau bagaimanapun, perubahan dramatik dalam hidup lelaki itu tidak langsung membawa sebarang kegembiraan buat dirinya. Peter diingati semasa hayatnya sebagai seorang yang pendiam dan berwajah cengkung – dia dikatakan masih tidak dapat melupakan keperitan hidupnya satu tika dulu. Dia bertekad bahawa keenam-enam orang anaknya tidak akan melalui hidup serba kekurangan dan kesengsaraan merasa pengalaman bekerja yang pernah dia alami. Anak-anak Clement: Flora, Jeannie, Margaret, William, Peter Jr. dan Anna menikmati kemewahan dan kesenangan yang disediakan oleh ayah mereka: pendidikan berkualiti, percutian, rumah mansion yang dilengkapi dengan beberapa orang gaji. Sesungguhnya Peter mencapai tahap sukses yang diidamkan oleh ramai orang waktu itu. Namun dia terlupa, walaupun kesukaran hidup dan bergelut untuk mencari sesuap nasi meninggalkan ‘parut’ ke atas seseorang, tanpa pengalaman-pengalaman sebegitu pula akan mengakibatkan seseorang itu tidak tahu cara menghadapi masalah, yang Peter suka atau tidak akan datang menjengah walau sesenang mana hidup diberikan kepada anak-anaknya.


Margaret Clement

Malangnya Margaret Clement akan menjadi teladan kepada kisah hidup yang serba ‘sempurna’ ini. Pada tahun 1890, ayahnya meninggal dunia akibat penyakit jantung. Waktu itu Margaret baru berusia 9 tahun. Anak gadis yang sensitif dan manja itu tidak dapat menerima kehilangan orang tuanya secara tiba-tiba, membesar sebagai wanita yang muram dan suka menyendiri. Sebaik saja dia tamat persekolahan, Margaret dan kakaknya Jeannie dihantar melancong ke seluruh dunia yang dibiayai oleh ibu mereka, Jane Clement. Jane berharap kedua-dua anaknya itu akan dapat meluaskan pandangan dan mempelajari budaya asing. Rancangan si ibu dikatakan berjaya – Gadis-gadis tersebut diterima dengan baik di mana-mana saja mereka berada. Malah mereka dilayan seperti bangsawan ketika melawat Britain. Dalam waktu yang sama juga, Margaret dan Jeannie turut menerima banyak lamaran perkahwinan. Namun, gadis-gadis Clement itu belum bersedia, kerana mereka masih menikmati keseronokan dan hiburan di serata dunia. “Masih banyak lagi masa untuk memikirkan pasal suami,” kata Margaret. Mereka juga tidak berminat untuk mengambil tahu cara pengurusan harta keluarga yang melimpah ruah itu, kedua-duanya lebih suka meletakkan tugas itu di bahu orang lain. Margaret dan Jeannie Clement membesar tanpa mengambil peduli walau sekecil-kecil perkara berkenaan wang dan hartanah mereka.


Adik beradik Clement.
Dari kiri ke kanan: Margaret, Anna, Flora dan Jeannie

Apabila gadis-gadis Clement kembali ke rumah mansion mereka di Melbourne, Australia, mereka membawa bersama banyak barang antik dan karya seni. Terlalu banyak sehingga mereka kekurangan ruang untuk menyimpannya. Akhirnya keluarga Clement membeli sebuah lagi rumah, yang lebih besar – sebuah mansion yang mempunyai 18 buah bilik, dan dinamakan ‘Tullaree’. Ia terletak di kawasan yang mudah dilanda banjir, maka tukang binanya, Charles Widdis meletakkannya di atas bukit curam dan dilengkapi dengan sistem saliran yang canggih bagi mengelakkan kawasan sekitarnya dipenuhi air. Sistem saliran ini sangat berkesan, tetapi ia memerlukan penjagaan yang teliti. Apapun, tabiat acuh tak acuh Margaret dan Jeannie akan mengabaikan sistem tersebut, dan seterusnya membawa masalah besar kepada mereka.

Pada 1907, keluarga Clement pun memindahkan hasil-hasil seni berharga mereka ke Tullaree, dan juga meletakkan haiwan ternakan yang berkualiti di ladang mansion itu. Seorang pengurus dan satu kumpulan pekerja telah diupah untuk menjaga kawasan Tullaree. Walaupun Jane Clement dan anak-anaknya ‘rakan kongsi’ dalam pemilikan ladang, dan menerima hasil keuntungan, hanya Jeannie dan Margaret saja yang mendiami rumah itu. Adik beradik mereka yang lain, ada di antaranya sudah berkeluarga dan mempunyai rumah sendiri.

Kedua-dua gadis itu sangat menyukai rumah baru mereka – Ia umpama syurga, dihiasi dengan kebun bunga, air pancuran dan ladang yang subur dan menghijau. Pengurus ladang mereka bertugas menjaga tanaman dan haiwan ternakan agar sentiasa dalam keadaan baik, manakala sebelas orang pekerja termasuk seorang pemandu peribadi memastikan adik beradik Clement itu hidup dengan penuh keselesaan. Margaret dan Jeannie tidak perlu bekerja dan tiada sebarang tanggungjawab dalam hidup – mereka bebas untuk berbuat apa saja.


Rumah Tullaree

Gadis-gadis Clement juga suka menunjuk-nunjuk rumah Tullaree. Mereka selalu mengadakan parti-parti mewah untuk rakan-rakan dan jiran mereka. Adik lelaki mereka, Peter Jr., semakin tidak menyenangi cara kakak-kakaknya yang boros itu dan sentiasa mengingatkan mereka agar berhati-hati berbelanja. Namun, Jeannie dan Margaret tidak mengendahkan nasihatnya. Ladang keluarga Clement sangat berjaya, dan banyak membawa hasil yang lumayan untuk mereka. Jadi, kedua-duanya tidak nampak keperluan untuk menghentikan hiburan dan keseronokan.

Walau bagaimanapun, Perang Dunia Pertama mengubah segala-galanya, bukan saja dunia tapi juga keluarga Clement. Pada tahun 1914, Peter Clement Jr. dikerahkan untuk berkhidmat dalam tentera Australia. Dia terselamat, tetapi mengalami kecederaan yang teruk dan dihantui trauma perang. Dia bukan seperti dirinya yang terdahulu. Selepas Perang Dunia Pertama tamat, dia didapati menghidap penyakit mental dan tidak berupaya dari segi fizikal untuk sama-sama menguruskan Tullaree. Akhirnya Peter meninggal dunia dengan tembakan di kepala. Walaupun cara kematian yang agak misteri semua orang termasuk koroner yang memeriksa mayatnya menganggap Peter telah membunuh dirinya. Seorang lagi adik lelaki gadis-gadis Clement yakni abang Peter, William terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri, meletakkan pengurusan Tullaree sepenuhnya di tangan Jeannie dan Margaret. Buat kali pertama dalam hidup mereka, kedua-duanya terpaksa menggalas tanggungjawab.

Pada mulanya, ia tidak membawa sebarang perubahan dalam aktiviti harian mereka. Adik beradik itu menyambung semula gaya hidup mereka dengan berpesta dan berbelanja dengan mewah. Namun, apabila mereka semakin berumur, Jeannie dan Margaret mula menyedari ada kekurangan dan kekosongan dalam hidup. Setelah sekian lama, akhirnya mereka menginginkan perkahwinan dan melahirkan anak-anak. Wanita-wanita itu semakin bosan menghabiskan masa dengan tidak melakukan apa-apa selain berhibur siang dan malam – Mereka mencemburui kehidupan adik beradik mereka yang stabil dan bahagia bersama keluarga masing-masing. Sayang sekali, waktu itu sudah terlambat. Kebanyakan teman lelaki mereka dahulu sama ada sudah berkahwin ataupun meninggal dunia semasa perang. Kini, tiada seorang pun lelaki yang sudi untuk memperisterikan wanita berumur seperti mereka.

Jeannie dan Margaret Clement juga menyedari satu lagi perkara baru yang berlaku selepas perang. Golongan bawahan mula mendapat peluang untuk memperbaiki nasib diri, dan bukan sekadar menjadi buruh dan orang gaji saja. Adik beradik itu mula sukar mendapat khidmat pekerja, jika ada pun kumpulan baru ini kurang terlatih berbanding pekerja yang dulu, dan mereka meminta gaji yang lebih tinggi. Perlahan-lahan, kebun dan ladang Tullaree semakin susut. Sebahagian pekerja baru pula mengambil kesempatan ke atas wanita-wanita itu dengan menipu dalam urusan perniagaan. Salah seorang pekerja pula secara diam-diam menjual lembu baka terbaik mereka dan diganti dengan lembu baka biasa. Apabila diketahui oleh adik beradik Clement, lelaki itu melarikan diri dengan sejumlah wang besar kepunyaan ladang Tullaree.

Tanda pengabaian paling teruk pada ladang itu adalah sistem salirannya. Ia sudah lama tidak terjaga sejak perang lagi, yang mengakibatkan air daripada hujan ribut mula bertakung di sekitar kawasan itu. Rumah adik beradik itu berisiko tinggi akan tenggelam dan menjadi kawasan paya yang besar. Akhirnya Jeannie dan Margaret barulah terfikir untuk membersihkan sistem saliran rumah Tullaree, tetapi waktu itu mereka sudah terlambat – parit utamanya sangat tersumbat, tiada pekerja amatur yang boleh memperbaikinya. Wanita-wanita tersebut dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat seorang jurutera, namun Margaret dan kakaknya merasakan tugas mengawasi kerja-kerja membaiki perparitan di estet mereka adalah ‘sangat berat’. Tambahan pula, jumlah kos pembaikan membuatkan adik beradik Clement semakin tidak berminat. Kedua-duanya tidak tahu apa sebenarnya telah terjadi pada kewangan mereka – Buat pertama kali dalam hidup mereka, Jeannie dan Margaret Clement tidak lagi mempunyai sumber wang yang mencurah-curah seperti dahulu.

Keadaan rumah Tullaree yang semakin usang

Kehidupan mereka dan estet Tullaree mula sama-sama mengalami kejatuhan. Air hujan dan paya adalah punca kepada masalah yang lebih besar. Kebanjiran yang terlampau di ladang adik beradik tersebut mengakibatkan banyak biri-biri mereka berpenyakit reput kaki dan mati. Air banjir turut menenggelamkan lembu-lembu mereka. Bumbung Tullaree bocor dengan teruk, hingga merosakkan perabot dan karpet. Tidak lama kemudian, pendapatan ladang itu berkurangan sedikit demi sedikit. Hutang si kakak dan si adik pula bertambah.

Ahli-ahli keluarga Clement yang bimbang dengan keadaan kedua-dua wanita itu, bertegas – walaupun sudah terlewat – agar Jeannie dan Margaret untuk matang dan menggalas tanggungjawab seperti orang dewasa. Adik beradik mereka membuat pelbagai arahan dan syarat yang harus diikuti. Antaranya: memberhentikan kesemua pekerja rumah Tullaree. Begitu juga dengan pekerja-pekerja ladang, kecuali seorang bagi menjaga lembu-lembu mereka hingga cukup baik dan sihat untuk dijual. Tiada lagi keramaian, majlis mewah dan percutian ke luar negara. Selain itu, kedua-duanya mesti menjual sebahagian tanah ladang mereka dan wang hasil jualan itu akan digunakan untuk membaiki rumah dan sistem saliran.

Dengan rasa berat hati, Margaret dan Jeannie bersetuju. Walau bagaimanapun, perancangan itu sudah terlewat. Tiada siapa yang mahu membeli tanah ladang yang becak dan dibanjiri air. Oleh itu, mereka terdesak mengambil langkah yang seterusnya – Mempajak gadai ladang Tullaree, dengan bayaran faedah yang cukup-cukup diambil dari wang sewaan tanah mereka yang masih kering.

Jeannie dan Margaret Clement, yang satu tika dulu sangat popular dan dicemburui ramai, berubah menjadi dua orang anak dara tua yang hampir muflis dan tinggal di rumah yang basah dan lembap, dan usang. Sekiranya mereka gagal membayar pajakan, kedua-duanya berisiko dihalau dan hilang tempat berteduh. Kini mereka mengharapkan belas ihsan dan bantuan adik beradik Clement lain yang masih hidup senang, walaupun harta diwarisi tidak sebanyak ketika ayah mereka masih hidup dulu. Seminggu sekali, Si ibu Jane Clement akan mengirimkan makanan kepada kedua-dua anaknya itu. Bantuan tersebut berakhir apabila ibu mereka meninggal dunia pada 1937 dan menjelang 1947, mereka telah kehilangan seorang lagi adik lelaki, William yang menjadi tempat mereka bergantung hidup.

Pada satu pagi, selepas hujan lebat pada malam sebelumnya, Margaret bersiap-siap untuk ke pekan bagi membeli sedikit barang-barang dapur. Sebaik saja dia membuka pintu, wanita tersebut nyaris-nyaris pitam akibat terlalu terkejut. Dalam masa satu malam, sungai berdekatan telah melimpah dari sistem perparitan Tullaree yang uzur, menyebabkan seluruh kawasan sekelilingnya tenggelam. Apa yang dia dapat lihat sekitar tasik ‘baru’ itu adalah bumbung gazebo kebun bunga mereka dan kepala patung hiasan besar saja.

Jeannie dan Margaret seolah-olah menjadi penduduk sebuah pulau kecil, yang terperangkap dengan parit besar. Air itu tidak pernah surut. Rumah tersebut dikatakan menjadi sarang perlindungan ular dan tikus yang cuba lari daripada dilanda banjir. Para jiran mula memanggil adik beradik itu sebagai ‘wanita-wanita paya’. Lama kelamaan, kedua-duanya lebih suka menyendiri di rumah dan enggan bertemu dengan orang ramai. Peneman-peneman mereka adalah beberapa ekor kucing jalanan – haiwan paling disayangi Jeannie dan Margaret – dan seekor anjing kecil yang dinamakan ‘Dingo’. Margaret akhirnya membiasakan diri berjalan menempuhi air setinggi dada orang dewasa itu, setiap kali dia perlu meninggalkan rumahnya untuk berurusan di pekan. Jeannie, yang lumpuh secara tiba-tiba, tidak lagi mampu meninggalkan Tullaree. Dia sekarang umpama terpenjara di rumahnya yang besar itu.

Pada Julai 1950, Jeannie menghembuskan nafas terakhir dan Margaret terpaksa menunggu beberapa hari untuk mendapatkan bantuan kerana suhu cuaca dan air waktu itu sangat sejuk. Dua orang jiran, seorang doktor dan seorang koroner bersama-sama Margaret menempuhi air banjir dan mereka mendapati mayat Jeannie sudah mereput dan membusuk. Menurut jiran yang menyertai kumpulan itu, pengalaman mengangkat dan memindahkan mayat wanita itu adalah pengalaman paling dahsyat yang pernah dialaminya.


Kisah dua beradik yang hidup dalam kemiskinan dan mengasingkan diri mereka dari masyarakat telah menarik minat para wartawan dan cerita mereka disiarkan dalam beberapa buah akhbar. Tidak lama kemudian, kisah Margaret mendapat perhatian seorang pemaju hartanah yang kaya raya bernama Stan Livingstone. Dia berhajat untuk membeli Tullaree yang penuh kerosakan itu pada harga yang rendah, kemudian mengalirkan air banjir keluar, memperbaiki apa yang patut dan seterusnya menjual estet itu pada harga yang tinggi. Lantas Livingstone menawarkan satu perjanjian kepada Margaret: Sekiranya wanita itu bersetuju menjual Tullaree kepadanya, dia akan melangsaikan hutang dan pajakan, membina sebuah rumah kecil secara percuma untuk Margaret tinggal hingga ke akhir hayatnya di tanah itu, dan Livingstone juga akan memberikan bayaran sekaligus sebanyak $12,000.



Gambar-gambar Margaret Clement (bersama anjingnya Dingo) dari akhbar yang memaparkan kisah hidupnya di rumah berpaya


Saudara mara Margaret syak ada sesuatu yang tidak kena dengan tawaran itu dan menggesa wanita tersebut agar menolaknya. Lagi pun, Stan dikenali sebagai seorang yang panas baran. Namun, Margaret pada usia 71 tahun dan sudah lama menyendiri, sangat terdesak untuk hidup tenang dan stabil. Dari dulu lagi dia berharap kemunculan seseorang yang akan menyelesaikan masalah Tullaree. Livingstone adalah ‘penyelamat’ yang ditunggu-tunggunya. Maka, tanpa membuang masa Margaret terus bersetuju dengan syarat-syarat yang diberikan oleh lelaki tersebut. Meskipun perjanjian asal bayaran adalah $12 ribu, tetapi atas kepintaran peguam Livingstone, Margaret hanya menerima $3 ribu sahaja atas penjualan ladangnya itu.

Livingstone dan isterinya, Esme dikatakan melayan Margaret dengan baik dan mesra. Mereka memberikan hadiah-hadiah mahal dan membelanja wanita itu makan hampir setiap malam. Margaret Clement merasakan masalahnya akan berakhir.

Anjing kesayangannya, Dingo ditemui mati dengan kesan cakaran dan gigitan pada lehernya pada Mac 1952. Dua bulan kemudian, pada 25 Mei, Livingstone membuat laporan polis bahawa Margaret telah hilang. Menurutnya, dia datang melawat wanita tersebut dan mendapati pintu depan rumahnya terbuka luas. Tongkat yang sentiasa dibawanya ke mana-mana ditemui terletak di lantai ruang tamu. Katil masih dalam keadaan yang kemas. Operasi pencarian pun dilakukan ke atas kawasan paya dan berair di sekitar Tullaree. Namun tiada sebarang tanda dan kesan yang ditinggalkan oleh Margaret. Apapun, Livingstone tetap meneruskan rancangannya dan menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian ke atas estet itu dan menerima keuntungan $67500 hasil jualan Tullaree pada tahun 1963.

Pasukan polis dan sukarelawan sedang meredah paya kawasan Tullaree untuk mencari Margaret

Pihak polis percaya Margaret telah dibunuh – dan ramai yang dapat meneka siapa suspek utamanya – Malangnya mereka tiada apa-apa bukti hinggalah pada tahun 1978, apabila tulang rangka manusia dijumpai di dalam kubur cetek, kira-kira dua setengah batu dari Tullaree. Di tempat yang sama, penyodok, tukul, selendang wanita dan dompet berisi beberapa keping duit syiling turut ditemui. Ramai percaya rangka itu adalah Margaret Clement, tetapi koroner tidak dapat mengesahkan identitinya. Perkembangan terbaru, forensik menyatakan hasil kajian gigi tengkorak itu menunjukkan ia sebenarnya milik seorang wanita asli Aborigine.

Tempat tulang rangka ditemui




Pihak berkuasa menunjukkan tulang rangka dan barang-barang kepunyaan yang dipercayai milik Margaret Clement




Stan Livingstone pada usia emas

Orang ramai mula menunding jari kepada Stan Livingstone sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas kehilangan dan kematian wanita malang itu, tetapi dia menafikan sekeras-kerasnya. Livingstone meninggal dunia pada tahun 1992. Di penghujung hidupnya dia seorang lelaki yang sangat kaya dan berkuasa tetapi reputasinya diselubungi dengan andaian bahawa dirinya adalah pembunuh Margaret Clement. Isterinya pula meninggal pada tahun berikutnya. Rakan-rakan Esme mendedahkan bahawa wanita itu pernah menyatakan dia sangat takut akan suaminya dan terpaksa berdiam diri ketika dalam siasatan polis.

Stan dan Esme Livingstone

Walau bagaimanapun ketika hayatnya, Livingstone pernah memberitahu polis supaya menyiasat Clement Carnaghan, anak saudara lelaki Margaret. Kedua-duanya dikatakan berselisih faham beberapa minggu sebelum kehilangan wanita tersebut. Pertengkaran itu berpunca daripada rasa tidak puas hati Clement, anak kepada adik Margaret, Anna terhadap perubahan dalam wasiat ibu saudaranya. Namanya telah dikeluarkan dan diganti dengan nama sepupu-sepupu perempuannya, yakni anak-anak Flora – kakak sulung Margaret. Kemarahannya meluap-luap apabila mengetahui Tullaree yang sepatutnya diwariskan kepada dirinya telah berpindah milik. Apapun, sehingga kini tiada petunjuk membuktikan Carnaghan adalah pembunuh ibu saudaranya itu.

Berdasarkan rekod, adik Margaret, Anna Carnaghan adalah adik beradik Clement yang terakhir hidup. Dia meninggal dunia pada 1961, manakala anaknya Clement pula pada 1982 di Heidelberg, Victoria. Dia tidak pernah berkahwin.

Tahun berganti tahun, pihak polis dan orang ramai yang mengikuti kes ‘Wanita Paya’ semakin hilang keyakinan bahawa ia akan diselesaikan. Kisah Margaret Clement berkemungkinan besar akan berakhir sebagai satu lagi kes misteri yang tersimpan rapi di dalam lipatan sejarah Australia.


Rumah Tullaree sekarang



Sumber: historicmysteries.comoddhistory.com.aumydeathspace.com

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Matinya Si Superman

Kes Glico-Morinaga: Lelaki Raksasa Dengan 21 Wajah

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf