KES MISTERI PEMBUNUHAN DI VILLISCA, IOWA
Kes berlaku pada musim panas tahun 1912 di sebuah bandar
kecil bernama Villisca di Iowa, Amerika Syarikat. Pembunuhan ini sangat
menggemparkan sehingga berjaya menyingkirkan berita Titanic yang tenggelam dua
bulan sebelum itu, daripada muka depan akhbar-akhbar utama.
Dari kiri ke kanan, atas: Joseph
Moore, Sarah Montgomery-Moore, Herman Moore, Katherine Moore Bawah: Boyd Moore, Paul Moore, Lena Stillinger, Ina Stillinger |
Hasil siasatan polis dan koroner telah membuat gambaran
bahawa pada petang Ahad 9 Jun pembunuh bersembunyi di loteng semasa keluarga
Moore menghadiri program Hari kanak-kanak di Gereja Presbyterian. Ini
dibuktikan dengan penemuan beberapa puntung rokok di loteng tersebut. Kehadiran
Ina Mae dan Lena pada waktu itu adalah kerana ajakan Mary, untuk bermain dan
bermalam bersama-sama. Di sini pihak polis meletakkan jangka masa pembunuhan
berlaku antara pukul 12 malam hingga 5 pagi.
Apabila keluarga Moore dan tetamu kecil mereka nyenyak
tidur, berbekalkan kapak kepunyaan keluarga Moore dan cahaya pelita si pembunuh
mula-mula masuk ke bilik pasangan suami isteri. Dia menetak Josiah
berkali-kali, dan hayunan kapak begitu tinggi hingga meninggalkan calar pada
siling bilik itu. Kecederaan yang dialami ketua keluarga itu sangat teruk
berbanding mangsa-mangsa lain. Dikatakan wajahnya hancur dan kedua belah
matanya hilang. Sarah yang mungkin tidak sedar akan hal yang berlaku ke atas
suaminya turut maut menerima tetakan yang bertalu-talu.
Seterusnya, si pembunuh menuju ke bilik anak-anak Moore dan
menetak kesemuanya di bahagian kepala hingga mati. Polis berpendapat pembunuh
kemudian kembali semula ke bilik utama dan menghancurkan kedua-dua mayat suami
isteri tersebut. Darah melimpah dengan banyak hingga memenuhi sebelah kasut di
tepi katil mereka. Setelah puas, pembunuh turun ke tingkat bawah dan membunuh
adik beradik Stillinger. Polis mempercayai Lena satu-satunya mangsa yang sedar
dan terbangun sewaktu kejadian itu berlaku – Ada tanda pergelutan dengan
kecederaan mempertahankan diri pada lengannya. Kemungkinan besar juga ada
percubaan mencabul ke atas kanak-kanak itu, Lena ditemui dengan gaun tidurnya
terselak hingga ke paras pinggang dan seluar dalamnya hilang.
Lakon semula pembunuhan oleh pihak polis |
Beberapa orang suspek telah disoalsiasat dan pelbagai teori
serta khabar angin oleh penduduk bandar di situ dikemukakan – termasuk motif
cemburu, curang dan pedofilia. Salah seorang berjaya dihadapkan ke mahkamah,
bukan sekali tetapi DUA kali namun akhirnya dia dilepaskan kerana kekurangan
bukti kukuh dan dakwaan keganasan polis. Seratus empat tahun kemudian, kes
pembunuhan Villisca masih kekal misteri dan yang pasti si pembunuh hidup bebas
dan membawa rahsia gelapnya itu ke kubur.
Kapak yang dipercayai senjata pembunuhan |
- Selain menyelubung kepala mangsa-mangsanya dengan selimut, pembunuh juga menutup semua cermin di rumah dan kaca pintu dengan kain. Ini dikaitkan dengan adat kematian zaman Victorian iaitu sekiranya ada mayat di rumah, setiap cermin hendaklah ditutup. Mungkin juga pembunuh rasa bersalah – enggan melihat pantulan imej mayat mangsa bunuhnya.
- Polis menemui daging bacon beku seberat 4 pound disandarkan pada dinding bersebelahan kapak yang digunakan untuk membunuh. Ada sisa makanan di atas meja dapur dan mangkuk berisi air basuhan darah.
- Kegagalan siasatan mungkin ada kaitan dengan cara pihak polis dan koroner mengawasi tempat kejadian. Menurut seorang saksi walaupun telah diberikan amaran oleh polis untuk tidak masuk ke rumah tersebut, berpuluh-puluh orang jiran dan penduduk bandar berpusu-pusu melihat keadaan mayat keluarga itu dan adik beradik Stillinger. Cap jari bercampur aduk, malah ada yang mengambil serpihan tengkorak Josiah Moore sebagai tanda kenang-kenangan.
- Gambar-gambar penting tempat kejadian hilang buat selama-lamanya setelah jurugambar yang diupah polis menjual kedai gambarnya termasuk negatif gambar itu sekali. Setelah beberapa kali bertukar tangan, akhirnya seluruh kedai itu terbakar.
- Rumah keluarga Moore masih wujud hingga kini, dipulihara oleh pasangan suami isteri Darwin dan Martha Linn bermula pada tahun 1994 serta dimasukkan ke dalam US National Register of Historic Places pada 1998. Rumah itu juga dinamakan sebagai salah satu tempat paling berhantu di Amerika Syarikat dengan para penyiasat paranormal dikatakan berjaya mengesan penampakan roh kanak-kanak dan juga pembunuh misteri itu.
Rumah dan loteng keluarga Moore sekarang |
Kubur keluarga Moore |
Kubur adik beradik Stillinger |
Ulasan
Catat Ulasan