Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf
Pada satu pagi 22 April 1920, John Kraft, jiran keluarga
Wolf mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila melihat pakaian mereka
di jemuran terbiar sejak pagi semalam. Waktu itu dia sedang dalam perjalanan
memandu ke arah pekan Turtle Lake, dan memandangkan tiada siapa mengendahkan
dan mengangkat pakaian tersebut tatkala cuaca mendung dan berangin menambahkan
lagi rasa kehairanan.
Lelaki itu pun mendekati kawasan ladang rumah keluarga
tersebut dan berasa pelik kerana berbeza dengan hari-hari biasa, pada pagi itu
tiada siapa mengerjakan tanaman dan menguruskan haiwan ternakan.
Sebaik saja memasuki bangsal, John amat terkejut dengan apa
yang dilihatnya: tiga mayat ditutup dengan tanah dan jerami – seolah-olah
dilakukan dengan tergesa-gesa. Dia mengecam mayat itu sebagai jirannya, Jakob
Wolf (umur 41 tahun) dan dua orang anak perempuannya yang masih kecil, Maria (9
tahun) dan Edna (7 tahun).
Di ruang bawah tanah rumah keluarga itu, John menemui lima lagi mayat: Beata (35 tahun) bersama-sama tiga anak perempuan, Bertha (12 tahun), Liddia (5 tahun) dan Martha (3 tahun), serta pekerja upahan yang juga saudara jauh keluarga itu, Jacob Hoffer (13 tahun). Kesemua mereka telah dibunuh dengan tembakan senapang dan kapak.
Keadaan dapur yang disyaki tempat Beata dan Jacob ditembak. Perhatikan ruang papan lantai terbuka ke ruang bawah tanah dan tempat mayat dihumban |
Di ruang bawah tanah rumah keluarga itu, John menemui lima lagi mayat: Beata (35 tahun) bersama-sama tiga anak perempuan, Bertha (12 tahun), Liddia (5 tahun) dan Martha (3 tahun), serta pekerja upahan yang juga saudara jauh keluarga itu, Jacob Hoffer (13 tahun). Kesemua mereka telah dibunuh dengan tembakan senapang dan kapak.
Satu-satunya ahli keluarga Wolf yang terselamat adalah anak
bongsu mereka, Emma yang berusia lapan bulan. Bayi malang itu ditemui sedang
menangis kelaparan di katilnya.
Emma Wolf |
Ketika itu, North Dakota masih dalam fasa negeri baru.
Walaupun satu abad telah berlalu, kes ini masih menduduki senarai jenayah
paling kejam yang pernah berlaku di Amerika Syarikat.
Pada tahun 1920, pekan Turtle Lake, North Dakota mempunyai
lebih kurang 400 orang penduduk, tetapi lebih daripada 2500 orang menghadiri
majlis pengebumian yang menyaksikan lapan keranda, bersaiz kecil dan besar
disusun dalam satu barisan.
Keluarga malang berbangsa Jerman berasal dari Rusia itu
datang merantau ke Amerika Syarikat untuk peluang mengusahakan tanah dan
memulakan hidup baru. Ladang keluarga Wolf dikenali sebagai antara yang berjaya
di Turtle Lake dan Jakob Wolf dikatakan seorang yang bijak menguruskan
ladangnya, kuat bekerja dan sangat berjimat cermat.
Suasana majlis pengebumian Keluarga Wolf yang turut dihadiri Emma (bayi berpakaian putih) dan saudara maranya |
Sepanjang ingatan jiran dan orang terdekat, lelaki itu
tidak mempunyai musuh. Walaupun dia pernah terlibat dengan perselisihan faham
dengan salah seorang jirannya, tetapi ia tidak cukup serius hingga menjadi
perseteruan di antara mereka.
Namun salah seorang rakan Wolf memberitahu polis, Wolf pernah
menyuarakan kegelisahan akan keselamatan dirinya. Beberapa minggu sebelum
kejadian, si rakan dan Jakob Wolf bertembung di tengah jalan dan mereka sempat
berbual-bual – Pada saat itulah Wolf menyatakan bahawa dia bimbang salah
seorang jiran yang masih berdendam akan mencederakan atau membunuhnya.
Rakan tersebut hanya menganggap kata-kata Wolf sekadar
perasaannya saja. Apabila maklumat ini akhirnya disampaikan kepada Syerif
Turtle Lake, Ole Stefferud, ia sudah terlambat. Wolf dan keluarganya sudah
mati.
Tiada lagi peluang untuk mengambil serius ketakutannya dan
mengetahui siapa yang mengancam nyawanya.
Jakob, Beata, anak-anak Wolf dan pekerja mereka disemadikan
dengan satu batu tanda kubur yang tertulis “Die Ermordete Familie” – Keluarga
Yang Terbunuh. Semasa ahli-ahli keluarga Wolf dikebumikan, polis masih kabur
akan identiti suspek yang bertanggungjawab. Apapun, sebelum itu pihak berkuasa
berjaya mengesan selaras senapang yang terbenam di sebuah paya berhampiran
dengan ladang keluarga Wolf. Malangnya mereka gagal mendapatkan maklumat
pemiliknya yang sebenar. Pada tika itu, polis dan penyiasat hampir berputus
asa.
Namun di penghujung majlis tersebut, pihak polis memerhatikan tingkah laku aneh salah seorang tetamu - Henry Layer (36 tahun) juga seorang imigran berbangsa Jerman-Rusia, bapa kepada enam orang anak dan pemilik ladang berhampiran dengan tempat kejadian. Dia dikatakan membuka keranda satu persatu dan sambil berdiri, memandang wajah si mati. Layer turut menambahkan lagi rasa syak wasangka apabila dia ditemui sedang merayau-rayau di ladang keluarga Wolf oleh syerif Stefferud.
Suspek utama: Henry Layer |
Menurut catatan Stefferud: Apabila ditanya mengenai
kehadiran di ladang tersebut, Layer menyatakan keinginannya untuk membantu
pihak polis. Dia mencadangkan agar mereka memeriksa timbunan jerami di bangsal,
dan secara kebetulan Layer berjaya menemui segenggam kelongsong peluru. Namun,
Stefferud mencatatkan bahawa sebelum kelongsong itu ditemui, timbalannya dan
penyiasat lain sudah memeriksa tempat timbunan jerami yang sama, mereka gagal
menjumpai walau sebiji kelongsong pun.
Pada 13 Mei, pihak polis menahan Henry Layer sebagai suspek
utama pembunuhan keluarga Wolf. Selepas melalui soal siasat yang berjam-jam
lamanya, dan melihat gambar-gambar tempat kejadian yang amat mengerikan,
akhirnya Layer mengaku bersalah. Lelaki itu menjelaskan kepada para penyiasat
bahawa pembunuhan itu berpunca daripada pergaduhan di antara dirinya dan Jakob
Wolf. Layer amat marah apabila mendapati salah seekor lembu peliharaannya
tercedera akibat digigit anjing jirannya itu. Maka dia pun bersemuka dengan
Wolf di rumahnya dan menuntut ganti rugi.
Peta kedudukan Ladang Wolf dan Ladang Layer |
Menurut Henry Layer, pada waktu itu juga Wolf tiba-tiba
mengacukan senapang berlaras dua (double barrel) ke arahnya. Kedua-dua lelaki
itu pun bergelut dan dalam pada itu dua tembakan telah dilepaskan. Tembakan-tembakan
awal itu adalah tidak disengajakan, kata Layer, dia mendakwa dirinya
ingat-ingat lupa dengan apa yang berlaku selepas itu. Katanya lagi, Beata dan
pekerjanya, Jacob Hoffer terkena tembakan tersebut kerana “mereka berada dalam
jarak yang dekat.”
Jakob Wolf pula cuba melarikan diri, tetapi dikejar oleh
Layer yang telah merampas senapangnya. Tiada penjelasan bagaimana Layer berjaya
menemui beberapa butir peluru di dalam laci di rumah Wolf, perkara yang dia
ingat adalah mengisi semula senapang itu dan bertekad untuk membunuh sesiapa
saja yang berada di hadapannya. Akhirnya dia menembak Wolf dua kali di
belakang.
Dua orang anak perempuan Wolf menjerit-jerit ketakutan dan
menyembunyikan diri mereka di dalam bangsal. Namun Layer dapat menjejaki mereka
dan menembak kedua-duanya hingga mati.
Kemudian Layer kembali ke dalam rumah keluarga tersebut:
tiga lagi anak perempuan Wolf menangis dan berpelukan. Dia membunuh dua
daripada kanak-kanak itu dengan senapang dan seorang lagi ditetak dengan kapak.
Layer turut mengakui bahawa dia mengheret mayat Jakob Wolf
ke bangsal dan meletakkannya bersebelahan dengan dua mayat anaknya, dan menutup
mayat mereka dengan tanah dan jerami. Selepas itu, dia menghumban lima mayat di
dalam rumah ke bilik bawah tanah.
Apabila ditanya mengenai bayi Jakob dan Beata Wolf yang
terselamat, Henry Layer menyatakan bahawa waktu itu dia tidak tahu Emma berada
di dalam bilik lain.
Pada keesokan hari selepas soal siasat itu, Layer dihadapkan
ke mahkamah dan pada hari yang sama juga dia dijatuhkan hukuman penjara seumur
hidup dan kerja berat.
Namun, kes tragis itu tidak berakhir begitu saja.
Henry Layer yang telah dipenjarakan menarik balik
pengakuannya.
Layer memberitahu, pada hari kejadian dia berada di
ladangnya dan tidak ke mana-mana. Dia mendedahkan bahawa polis dan penyiasat
membuli dan memukulnya semasa disoal siasat. Peguam bela Layer juga menyatakan
bahawa pihak polis tiada bukti fizikal kukuh yang menunjukkan anak guam mereka
adalah pembunuh keluarga Wolf. Pendakwaan hanyalah bergantung pada pengakuan
Layer, khabar angin dan juga teori rekaan pihak polis.
“Kelakuan aneh” Layer di majlis pengebumian telah
dibesar-besarkan, kata peguamnya. Mengikut adat Jerman-Rusia, sebelum
dikuburkan keranda akan dibuka dan mayat di dalamnya dipamerkan kepada para
tetamu, walau teruk bagaimanapun keadaannya. Bukan Henry Layer saja yang
melihat mayat-mayat keluarga Wolf dan pekerja mereka tetapi semua penduduk yang
hadir pada waktu itu melakukan perkara yang sama.
Selain itu juga Layer dikatakan telah diugut polis, kononnya dia akan diserahkan kepada penduduk-penduduk Turtle Lake yang tengah berang untuk dikerjakan, seandainya dia tidak mengaku bersalah.
Selama lima tahun berikutnya, Layer bersumpah bahawa dia
tidak bersalah dan bercadang untuk membuat rayuan ke atas kesnya ke Mahkamah
Tinggi North Dakota. Walau bagaimanapun harapannya tidak tercapai apabila dia
meninggal dunia di hospital penjara ketika pembedahan radang usus pada 21 Mac,
1925.
Walaupun kes itu dianggap sudah selesai, sehingga kini
masih ramai yang merasakan bahawa Layer tidak bersalah, dia adalah seorang
mangsa penganiayaan polis yang tidak amanah dan penuh korupsi. Tambahan pula
selepas kejadian itu, rata-rata penduduk Turtle Lake dalam ketakutan memikirkan
si pembunuh masih bebas - Maka polis berada dalam keadaan yang sangat terdesak
untuk menyelesaikan kes tersebut.
Henry Layer sesungguhnya adalah kambing hitam yang paling
mudah untuk dituduh sebagai pembunuh yang ganas. Sekiranya penyiasat zaman
sekarang berhasrat membuka semula kes ini, mereka akan menemui kebuntuan kerana
semua bahan bukti sudah dimusnahkan, malah ladang Wolf sudah lama bertukar
tangan dan pelbagai ubah suai telah dilakukan ke atasnya.
Ladang Wolf pada 2013 |
Apa yang terjadi kepada satu-satunya ahli keluarga Wolf
yang terselamat, Emma?
Bayi yang terbiar kelaparan bersama mayat-mayat ahli
keluarganya selama dua hari itu akhirnya dijaga oleh ibu dan bapa saudaranya,
Christina dan Emanuel Hofer sehingga ke saat kematian mereka pada awal 1930an.
Untuk beberapa tahun berikutnya Emma tinggal di ladang Hofer bersama tiga orang
sepupunya.
Kemudian dia dijaga dan dibesarkan oleh pemilik kedai
runcit dan isterinya, Emil dan Vera Haas – penjaga sah yang dilantik oleh
pasangan Hofer. Emma juga bekerja di kedai runcit itu sehinggalah dia tamat
sekolah tinggi. Emma seterusnya belajar di Kolej Minot State dan memperolehi
sijil perguruan.
Pada usia 21 tahun, Emma Wolf mengahwini Clarence Hanson
pada 29 September 1940. Mereka dikurniakan tiga orang anak: Priscilla, Curtis
dan Sheila. Wanita itu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 16 Oktober,
2003 pada usianya yang ke 84. Suaminya, Clarence meninggal dunia pada Februari
2009.
Pemenjaran dan kematian Henry Layer pula meninggalkan
keluarganya dalam keadaan terkontang kanting. Ketika dia berada di dalam penjara,
isterinya Lydia memohon perceraian dan berkahwin dengan Jesse Benn pada 1925.
Dia berpindah mengikut suami barunya ke Seattle, Washington dan meninggal dunia
di situ pada Mac 1976.
Selain anak tiri Henry Layer, Blanche (anak hasil
perkahwinan pertama Lydia yang berusia 10 tahun), dia juga mempunyai lima orang
anak kandung: Alvin, 6 tahun; Emil, 5; Berthold, 3; Edwin, 2; dan Willard, 6
bulan. Selepas bapa mereka dipenjarakan kesemuanya kecuali Willard dihantar ke
rumah saudara mara untuk dijaga. Namun, menurut akhbar Fairmont Sentinel,
Minnesota pada 14 Oktober 1922, anak-anak Layer telah diserahkan ke rumah anak
yatim negeri itu. Akhbar tersebut mendedahkan maklumat itu ketika melaporkan
kejadian seorang anak yatim yang berusia 6 tahun, Berthold Layer mati dilanggar
gerabak yang membawa bit gula. Walau bagaimanapun menurut banci tahun 1930,
Blanche dan Edwin dibawa pulang dan tinggal bersama ibu dan adik mereka,
Willard di Seattle. Blanche Layer dikatakan berkahwin pada awal 1950an dan
meninggal dunia pada Februari 1981.
Assalammualaikum dani-rox..frm cari to here..& here we are ;)
BalasPadamSR shj..but am much appreciated on ur hardest efforts sedia kn kami bhn2 bacaan informative ni..tqvm