Kes Basikal Hijau
Kes ini mencuri perhatian rakyat Britain pada awal abad ke-20, mempunyai segala elemen yang menzahirkan satu kisah yang menarik – sepasang wanita dan lelaki muda, kisah dua darjat yang berbeza dan pembunuhan yang membingungkan. Selepas 100 tahun, pihak polis dan penyiasat masih gagal menyelesaikan kes Basikal Hijau. Kes yang secara luaran kelihatan sangat mudah, tetapi berakhir sebagai salah satu kejadian misteri dan paling kontroversi di dalam lipatan sejarah Britain.
Pada lewat petang Sabtu 5 Julai, 1919, di Kampung Little Stretton yang terletak di daerah tengah England, seorang penggembala lembu bernama Joseph Cowell menemui seorang gadis muda terlentang di tepi jalan. Apabila mendekati gadis itu, dia mendapati pipinya berdarah. Sebaik saja melihat sebuah basikal terbaring di tidak jauh daripada si gadis, Joseph beranggapan bahawa dia mungkin terjatuh ketika menunggang basikal dan kepalanya terhantuk.
Lelaki itu pun dengan segera mendapatkan bantuan doktor dan pihak berkuasa di bandar yang berhampiran, Leicester. Namun semuanya sudah terlambat. Si gadis disahkan sudah meninggal dunia. Doktor Williams yang memeriksa gadis itu bersetuju dengan andaian Joseph bahawa gadis tersebut mati akibat terjatuh dan terhantuk batu.
Bella dan gambar rumahnya
Namanya Bella Wright, 21 tahun, anak kepada pasangan petani miskin dan buta huruf. Dia tinggal bersama ibu bapanya di sebuah rumah cottage batu yang kecil di pinggir Leicester. Mayatnya dipindahkan ke sebuah rumah kosong di situ buat sementara waktu atas arahan Dr Williams.
Semua orang di tempat kejadian termasuk Konstabel Alfred Hall, sangat simpati dengan nasib malang gadis itu. Namun, ada sesuatu yang pelik tentang kemalangan tersebut, dan malam itu Konstabel Hall tidak dapat melelapkan matanya – Bingung bagaimana Bella boleh terjatuh begitu sekali sehingga menemui ajal.
Pada awal keesokan paginya, dia kembali ke tempat kejadian dan mula memeriksa kawasan sekeliling dengan lebih teliti. Akhirnya dia menemui satu petunjuk: kesan darah pada pagar lembu yang berada di sebuah padang berdekatan. Lelaki itu juga menemui bangkai seekor burung gagak di bawah pagar tersebut.
Maka Konstabel Hall mula mengorek dan mengais sekitar tanah di situ dengan kedua-dua tangannya. Kira-kira enam langkah dari tempat mayat Bella terbaring sebelum itu, dia dapat merasakan satu objek keras. Apabila berjaya dikeluarkan, ia adalah sebiji peluru yang dipercayai datang daripada pistol jenis kaliber .455 .
Hall pun bergegas ke rumah kosong tempat mayat Bella disimpan. Dia membersihkan darah pada wajah mayat hingga berjaya menemui kesan tembakan, betul-betul di bawah mata kirinya. Dengan hasil maklumat itu, Dr Williams, bersama seorang lagi rakan sekerja menjalankan bedah siasat dan mengagak Bella telah ditembak di bawah matanya pada jarak enam hingga tujuh kaki. Peluru itu juga menembusi bahagian belakang tengkoraknya.
Contoh revolver jenis Webley-Scott dan peluru untuk kaliber .455 |
Sudah jelas dan nyata ini adalah pembunuhan, bukannya kemalangan basikal.
Tapi, siapa yang mahu menamatkan riwayat Bella Wright?
Gadis itu dilahirkan pada 1897, merupakan anak sulung daripada tujuh beradik, dibesarkan dan menjalani kehidupan selari dengan darjat bawahannya. Setelah menamatkan pendidikan asas, Bella mula bekerja sebagai pembantu rumah pada usia 12 tahun. Memandangkan tenaga buruh lelaki berkurangan akibat peperangan ketika itu, dia juga bekerja di sebuah kilang getah Leicester, membuat tayar pada syif malam.
Sebelum saat kematiannya, dia juga dikatakan telah bertunang dengan seorang tentera laut bernama Archie Ward.
Bella gemar menghabiskan masa lapangnya dengan berbasikal sambil menikmati pemandangan kampung halamannya. Pada hari kejadian, dia berbasikal menuju ke rumah bapa saudaranya, George Measures di Kampung Gaulby, empat batu dari rumah gadis itu.
Dia menemui ajalnya dalam perjalanan pulang, selepas menghabiskan masa sejam bersama George.
Menurut bapa saudaranya itu, dia perasan kehadiran seorang lelaki yang menaiki basikal hijau terang menemani Bella. Ketika anak saudaranya masuk ke rumah, lelaki itu menunggu dan berlegar-legar di luar.
Apabila ditanya mengenai lelaki asing itu, Bella memberitahu mereka bertembung dan berkenalan di tengah jalan. Walaupun George menyuarakan syak wasangka akan niat lelaki tersebut, gadis itu seolah-olah tidak kisah – “Saya akan cuba menjauhkan diri daripadanya,” Kata Bella sebelum mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir.
Sebaik saja anak saudaranya keluar dari rumah dan mendapatkan basikalnya, George terdengar lelaki itu menyapa gadis tersebut: “Bella, lamanya saya menunggu awak. Saya ingatkan awak dah balik ikut jalan lain tadi.”
Identiti lelaki asing itu tidak diketahui berminggu-minggu dan kemudian berbulan-bulan lamanya, dan kematian Bella Wright seperti tidak akan dapat diselesaikan.
Walau bagaimanapun, hala tuju kes berubah tujuh bulan selepas pembunuhan itu, apabila sebuah tongkang di Sungai Soar tersangkut pada sesuatu di bawah air: sebuah basikal hijau jenama BSA.
Nombor bersiri basikal itu telah membawa para penyiasat ke sebuah kedai di Derby, yang simpanan rekodnya menunjukkan pembeli basikal itu adalah Ronald Light, 34 tahun, seorang veteran perang dan tinggal di Leicester.
Ronald mengesahkan dirinya adalah lelaki yang dilihat orang ramai termasuklah George Measures, berbasikal bersama Bella pada hari kematiannya, dan juga mengakui bahawa dia menghumban basikal hijaunya, sekali dengan pistol kaliber .455 dan beberapa biji peluru ke sungai.
Walaupun dia menyatakan bahawa penahanannya “tidak masuk akal”, polis yakin mereka telah berjaya menyelesaikan kes itu.
Namun mereka lupa, Ronald, lahir pada 1885 adalah anak seorang jurutera awam dan juga pencipta alat-alat perpaipan air yang kaya. Lelaki itu juga mempunyai latar belakang ketenteraan dan darjat tinggi – Satu kelebihan baginya di dalam mahkamah, berbanding mangsa, sekadar pekerja kilang miskin dan anak kepada pasangan buta huruf.
Ronald, seorang yang petah berkata-kata memberikan keterangan selama empat jam dalam perbicaraan di Leicester Castle pada bulan Jun 1920. Dia mengakui kesalahannya tidak menyerahkan dirinya sebagai saksi dan juga membuang basikalnya. Lelaki tersebut turut menyalahkan masalah traumanya yang berpunca daripada pengalaman perang.
“Saya sangat takut akan publisiti kes ini,” katanya.
Rangka basikal dibawa masuk sebagai bahan bukti |
“Saya sangat takut akan publisiti kes ini,” katanya.
Apabila ditanya adakah dia seorang pembunuh, Ronald menjawab,”Sudah tentu tidak!”
Pendakwaraya, Gordon Hewart mengemukakan bukti bahawa Ronald telah mengikis dua set nombor bersiri pada basikal itu sebelum menghumbannya. (Namun terlupa satu lagi set nombor bersiri, yang akhirnya mendedahkan identitinya.)
“Si tertuduh bukanlah lelaki biasa,” kata Hewart, “tetapi seorang yang sangat bijak dan perbuatannya adalah disengajakan.”
Suasana Mahkamah |
Peguam bela Ronald, Sir Edward Marshall Hall pula menekankan teori Bella Wright mungkin mangsa tembakan seorang pemburu burung dari jauh. Dia mengingatkan para juri akan bangkai burung gagak yang dijumpai tidak jauh daripada mayat Bella. Para juri yang dari awal lagi menyebelahi Ronald Light, memilih untuk mempercayai senario itu dan mengenepikan sikap tertuduh yang banyak menimbulkan syak wasangka dan perbuatannya memusnahkan bahan bukti.
Sebaik saja juri mengumumkan keputusan tidak bersalah, ucapan-ucapan penuh kegembiraan kedengaran di bilik mahkamah itu: “Tahniah, Light!”
Lelaki itu telah diadili dan didapati tidak bersalah, tetapi adakah keputusan juri tersebut betul?
Rupa-rupanya Ronald Light mempunyai sejarah yang berjela-jela sebagai seorang penyumbaleweng (pervert).
Ketika berusia 17 tahun, dia telah dibuang sekolah kerana berkelakuan tidak senonoh ke atas seorang budak perempuan. Selepas menamatkan khidmat tentera, Ronald dituduh cuba memperkosa seorang gadis remaja. Pada hari Bella dibunuh, dua orang gadis belasan tahun memberitahu lelaki itu cuba mendekati dan berkenalan dengan kedua-duanya semasa mereka sedang menaiki basikal.
Maklumat-maklumat ini telah diketahui oleh pihak pendakwaraya dan media sewaktu perbicaraan tetapi dihalang daripada dibincangkan atas sebab-sebab yang masih kabur sehingga ke hari ini.
Bella Wright dikebumikan di Stoughton pada 11 Julai 1919. Majlis pengebumiannya dihadiri oleh beratus-ratus orang yang terkesan dengan kesnya.
Kubur Bella Wright sekarang |
Pada tahun 2016, sebuah persatuan berbasikal Leicester menganjurkan satu acara khas mengingati kejadian menimpa Bella iaitu menaiki basikal sejauh 16 batu yakni perjalanan yang dilalui gadis itu pada hari pembunuhannya. Antara peserta-peserta acara itu adalah cucu cicit saudaranya.
Basikal hijau yang menjadi tumpuan kes, dikatakan menjadi perhiasan dinding di sebuah kedai basikal di Evington untuk beberapa dekad. Kini tiada siapa tahu apa yang terjadi dengan basikal itu.
Selepas didapati tidak bersalah, Ronald Light meninggalkan Leicester dan mengahwini seorang balu beranak satu. Dia menikmati usia panjang di tepi pantai Kent, tanpa dikurniakan seorang anak pun sehingga kematiannya pada 1975 di usia 89 tahun.
Seratus tahun kemudian, pelbagai teori dan khabar angin yang muncul: Ronald membunuh Bella dengan tidak sengaja – terlepas tembakan ketika menunjuk-nunjuk pistol miliknya. Seorang pegawai polis, Levi Bowley menulis dalam notanya bahawa dia sendiri mendengar pengakuan Ronald menyatakan yang dia tertembak Bella. Namun keaslian notanya itu amat diragui. Selain itu, ada yang mempercayai Bella mungkin dibunuh oleh salah sorang lelaki yang meminatinya, tapi dikecewakan apabila mendapat tahu gadis itu telah mengikat tali pertunangan.
Apapun, seorang penulis British, C. Wendy East di dalam bukunya “The Case of the Green Bicycle” pada tahun 1993 menyuarakan dengan lantang akan apa yang sebenarnya terjadi pada kes itu. Dia menyimpulkan: Ronald Light berjaya terlepas daripada pertuduhan membunuh, atas bantuan sistem kelas sosial Britain yang tegar.
Ulasan
Catat Ulasan