Matinya Si Superman




Selaku Superman TV pertama, George Reeves adalah hero untuk jutaan kanak-kanak. Namun, kematiannya yang penuh misteri dan skandal pada 1959 telah mengubah pandangan ramai ke atas lelaki itu.

Ditemui tanpa seurat benang, Reeves telah ditembak di kepala selepas parti tengah malam di kediamannya. Cara kematiannya pada saat kegemilangan sebagai pelakon akan menjadi satu kontroversi yang menggemparkan Hollywood.


Bersama Phyllis Coates, yang membawa watak 'Lois Lane'


Tinggi dan tegap, Reeves adalah pilihan tepat untuk membawa watak hero Amerika di dalam siri televisyen ‘The Adventures of Superman.’ Dari tahun 1952 hingga 1958, dia telah membintangi sebanyak 104 buah episod, tetapi pada lewat 50an, populariti siri itu mula merosot dan direhatkan buat sementara waktu selepas musimnya yang keenam.


George Reeves sewaktu baru berkecimpung dalam dunia perfileman

Reeves (berdiri kanan) dalam salah sebuah adegan 'Gone with the Wind'


Reeves, seorang yang amat serius mengenai karier lakonannya dan pernah berlakon dalam filem hebat seperti ‘Gone with the Wind’ dan ‘From Here to Eternity’, dikatakan agak berbelah bahagi berkenaan kemasyhurannya sebagai Superman. Walau bagaimanapun, pengakhiran watak ikoniknya itu telah meninggalkan kesan yang amat dalam. Pada usia 45 tahun, terkenal dengan satu watak saja, tiada tawaran lakonan dan berat badan yang bertambah, George Reeves hanya muncul di dalam iklan dan perlawanan tinju selebriti.

Keputusan rasmi kematian adalah Reeves membunuh diri, akibat dibebani masalah yang semakin berat dan sukar ditanggung. Namun, ramai kawan dan juga rakan sekerjanya percaya aktor itu telah dibunuh, berpunca daripada hubungan cinta tiga segi.

Reeves dan Toni Mannix


Kebanyakan orang yang berkecimpung dalam dunia hiburan waktu itu tahu bahawa Reeves sedang menjalin hubungan cinta dengan Toni Mannix, isteri kepada Timbalan Presiden syarikat perfileman MGM, Eddie Mannix, yang turut dikenali sebagai salah seorang figura paling berpengaruh di Hollywood. Pasangan Mannix dikatakan mengamalkan 'perkahwinan terbuka' - konsep yang sangat asing pada masa itu. Namun, Reeves dan Toni pernah merancang untuk berkahwin sekiranya Eddie mati dahulu.


Eddie Mannix


Setahun sebelum kematiannya, Reeves memutuskan hubungannya dengan Toni secara tiba-tiba, meninggalkannya demi seorang sosialit New York yang lebih muda bernama Leonore Lemmon. Toni yang sangat kecewa dengan perpisahan itu, bertambah sedih apabila dimalukan oleh Reeves - Aktor itu membawa Leonore berpindah masuk ke rumah mereka di Los Angeles, yang dibeli oleh Toni.

George Reeves bersama Leonore Lemmon

Reeves pernah memberitahu rakan-rakannya bahawa dia syak beberapa kejadian pelik seperti panggilan-panggilan telefon di tengah malam tanpa suara pemanggil dan kehilangan anjing kesayangannya, Sam adalah angkara Toni Mannix. Adakah si bekas kekasih yang berdendam akhirnya mengambil langkah yang lebih kejam, iaitu menembak George Reeves sehingga mati?

George Reeves, Toni Mannix dan anjing mereka, Sam


Atau adakah si pembunuh adalah teman wanita barunya, Leonore Lemmon yang baran dan ganas? Dia dikatakan telah bergaduh dengan Reeves pada malam kejadian berpunca daripada kebingitan parti lewat malam yang diadakan wanita itu, yang mengganggu tidurnya. Waktu itu Reeves sendiri mabuk setelah menikmati hidangan alcohol di parti yang sama.

Malah kemungkinan yang lebih menakutkan, adakah Eddie Mannix, yang dikenali sebagai ‘pakar’ menyelesaikan skandal-skandal Hollywood, mempergunakan pertaliannya dengan kumpulan mafia dan mengarahkan seorang pembunuh upahan untuk menamatkan riwayat lelaki yang melukakan perasaan isterinya?

Bagi mengupas semula kejadian yang menimpa superhero pertama tv, kita kembali pada lewat tengah malam 16 Jun, 1959. Malam Superman meninggal dunia dan kelahiran satu kes misteri.



Kira-kira jam 2 pagi, dua pegawai polis tiba di sebuah rumah dua tingkat beralamat 1579 Benedict Canyon, Los Angeles – Rumah yang didiami Reeves bersama tunangnya, Leanore Lemmon sejak beberapa bulan sebelumnya. Polis telah menerima panggilan daripada Leonore apabila wanita itu dan para tetamunya menemui Reeves mati di dalam bilik tidurnya.

Tetamu-tetamu tersebut adalah Carol Van Ronkel, kekasihnya Robert Condon dan seorang jiran, William Bliss. Memandangkan mereka semua sangat mabuk, keterangan-keterangan yang diberikan agak sukar untuk difahami. Namun, keempat-empatnya bersetuju dengan kemungkinan bahawa Reeves membunuh diri. Sekitar pukul 1.20 pagi, Reeves dalam keadaan naik angin memarahi tetamu-tetamu itu kerana terlalu bising, sebelum kembali ke biliknya di tingkat atas.

Apa yang berlaku seterusnya diselubungi oleh kontroversi dan misteri, tapi menurut hasil soal siasat polis ke atas para saksi, tidak lama selepas Reeves menaiki tangga ke tingkat atas, mereka terdengar satu bunyi tembakan dan lelaki yang terkenal dengan watak yang kebal dari tembakan senjata api, secara ironinya mengakhiri nyawa dengan sebutir peluru di kepalanya.

Laporan polis seperti menerima saja versi tersebut, tanpa sebarang siasatan yang lebih menyeluruh. Mereka merumuskan bahawa George Reeves menghidap kemurungan dan semasa melayan para tetamu di rumahnya, dia memutuskan untuk beredar dengan mengejut, meletakkan pistol di pelipis kanannya dan melepaskan satu das tembakan. Kes yang sangat mudah.

Sijil kematian Reeves


Walau bagaimanapun, beberapa butir khusus telah menimbulkan perasaan ingin tahu di kalangan orang awam dan peminat kes tersebut. Mengapa Leonore mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk menghubungi pihak polis? Adakah benar wanita itu mengucapkan kata-kata “Dia akan menembak dirinya”, sebaik saja Reeves meninggalkan parti itu dan pergi ke bilik tidur di tingkat atas?

Pihak polis juga dituduh bersikap acuh tidak acuh ketika menjalankan siasatan. Mereka tidak mengambil gambar mayat dan tempat kejadian tidak diperiksa dengan teliti, malah tiada usaha untuk mendapatkan sebarang cap jari. Tiada bedah siasat dan mayat Reeves telah diawetkan dengan segera.

Laporan balistik juga tidak tepat. Menurut catatan, tiada kesan serbuk peluru dan luka bakar pada muka dan tangan aktor itu – Jadi bagaimana dia menembak dirinya di kepala dengan pistol tanpa meninggalkan kesan serbuk dan lecuran?



Tiga lubang tembakan ditemui di sekeliling bilik tidur, semuanya datang daripada pistol jenis Luger – yang ditemui di antara kedua-dua kaki mangsa. Adakah Reeves cuba menembak dirinya sebanyak tiga kali? Dan bagaimana peluru yang mengenai kepalanya berada di siling sementara kelongsongnya di bawah badan mayat?

Malangnya, Jabatan Polis Los Angeles mengesahkan kematian Reeves sebagai bunuh diri. Adakah pihak polis cuba menutup kes secepat mungkin untuk mengelakkan Hollywood dilanda satu lagi skandal? Adakah skandal itu berkaitan dengan salah seorang lelaki paling berpengaruh dalam dunia hiburan, Eddie Mannix?

Barangkali masih tidak percaya dengan hakikat ‘Man of Steel’ sanggup mencabut nyawa sendiri, sepanjang 60 tahun ramai yang mencipta spekulasi dan teori bahawa Leonore Lemmon, Toni Mannix, suaminya atau seorang pembunuh upahan yang bertanggungjawab di atas kematian Superman. 

Menurut pengkaji-pengkaji kes, kehadiran si jiran yang juga tetamu parti itu William Bliss berkemungkinan untuk mengalih perhatian Leonore dan tetamu lain daripada menyedari pembunuh upahan masuk ke rumah dan apa yang sedang berlaku di tingkat atas. Lebih mengejutkan, kedua-dua Reeves dan tunangnya baru saja mengenali Bliss. Apapun, bertahun kemudian Bliss mengubah ceritanya apabila memberitahu salah seorang rakan baiknya: selepas bunyi tembakan kedengaran, Leonore bergegas ke tingkat bawah sambil berkata,"Beritahu (pihak polis) aku hanya berada di tingkat bawah!"

Sikap Leonore yang bersahaja menaikkan rasa syak wasangka ketika dia dibenarkan oleh polis kembali ke rumah itu, membasuh cadar yang penuh dengan darah, menunaikan cek kembara sebanyak $4000, meninggalkan Los Angeles dan menuju ke New York - Tidak pernah kembali lagi, walau untuk majlis pengebumian tunangnya.

Di usia emasnya, Leonore menjadi seorang kaki botol dan segala kecantikan yang pernah dimilikinya telah hilang. Setiap kali disoal berkenaan malam kejadian, wanita iu akan memberi pelbagai versi dan pernyataan yang bercanggah. Dia meninggal dunia bersendirian di apartmen New York-nya pada Tahun Baru 1989. Mayatnya hanya disedari dan dijumpai empat hari kemudian.


Leonore Lemmon; ketika muda dan di usia tua


Menambahkan kekusutan adalah pelakon watak 'Lois Lane' Phyllis Coates, yang juga rakan kedua-dua Reeves dan Toni Mannix, pernah menceritakan bagaimana dia dikejutkan dengan panggilan telefon pada 4.30 pagi di hari kejadian. Katanya, Toni menangis dan terjerit-jerit, "(Reeves) sudah mati. Dia telah dibunuh!" Apabila diingati semula, Phyllis berasa pelik. Bagaimana Toni lebih awal tahu mengenai kematian Reeves sebelum berita mengenainya diketahui ramai? Adakah dia sendiri yang menyusup masuk secara senyap-senyap ke kediaman Reeves dan menembaknya? Atau dengan bantuan suaminya Eddie, mereka mengupah seseorang untuk melakukannya?

Pada tahun 1983, Toni yang sudah tua dan nazak di saat-saat akhir dikhabarkan telah mengakui penglibatannya dalam pembunuhan George Reeves. Dia mengatakan bahawa dia membunuh Reeves atas rasa marah dan cemburu. Walaupun, dia mempunyai motif kukuh tetapi Toni juga sedang menghidap Alzheimer. Barangkali pemikirannya telah terpengaruh dengan kisah dan teori kes yang pernah dibacanya. Oleh itu, penyiasat dan para pengkaji kes teragak-agak untuk menerima pernyataan 'terakhir' wanita tersebut.

Namun begitu, adakah sekelumit kebenaran di sebalik khabar angin dan buah mulut yang George Reeves telah dibunuh?

Helen Bessolo sedang memberi kenyataan media


Ibu aktor tersebut, Helen Bessolo tidak pernah bersetuju dan menerima laporan rasmi itu – Menurut wanita tersebut, Reeves tidak pernah menunjukkan tanda-tanda kemurungan. Rakan-rakan Reeves juga mengatakan bahawa masalah karier lelaki itu hanya diperbesar-besarkan oleh media. Siri ‘The Adventures of Superman’ akan kembali ke televisyen, dengan musim baru pada tahun 1960 dan Reeves bakal menerima bayaran lebih tinggi serta peluang mengarah beberapa episod. Helen mengupah beberapa penyiasat persendirian dan memohon autopsi kedua ke atas mayat anaknya. Menurut pakar bedah siasat bebas, Reeves berkemungkinan besar telah dibunuh. Namun, laporan ini tidak diterima oleh pihak polis sebagai keputusan rasmi dan punca kematian Reeves kekal dengan ‘bunuh diri’.


Rumah George Reeves sekarang


Tempat persemadian abu George Reeves di Altadena, California



Sumber: Wikipedia, allthatsinteresting.com, straightdope.com & telegraph.co.uk

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kes Glico-Morinaga: Lelaki Raksasa Dengan 21 Wajah

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf