Keluarga Pembunuh Bersiri Pertama di Amerika Syarikat
Pada bulan Oktober tahun 1870, pekan Cherryvale, Kansas menyaksikan lima buah keluarga pendatang berfahaman Spiritualist – Fahaman yang sangat asing di kalangan penduduk tempatan di situ; berpindah masuk dan mendiami tanah-tanah kosong yang diwartakan oleh Akta Homestead waktu itu. Dikatakan kedatangan mereka semua disambut dengan tangan terbuka, tanpa banyak soal jawab.
Kedudukan Cherryvale di daerah Labette |
Apapun dalam masa setahun, dua keluarga berpindah keluar
kerana tidak sanggup bertahan dengan keadaan cuaca dan muka bumi Cherryvale yang
sukar, manakala yang lain meneruskan kehidupan di ladang mereka bersendirian.
Hanya keluarga Bender saja yang menonjol.
Dari kiri ke kanan: John Sr., Elvira, John Jr. dan Kate |
Pada mulanya, mereka kelihatan seperti sebuah keluarga yang
normal. John Bender, Sr. (Senior) dan keluarganya menduduki sebidang tanah
berhampiran jalan Great Osage Trail yang dilalui ramai pengembara ke Bahagian
Barat. Ahli Bender yang paling tua itu, yang juga dipanggil “Pa”
mengisytiharkan tanah seluas 160 ekar (kini dikenali sebagai daerah Labette)
sebagai miliknya. Anaknya, John Jr. (kadang-kadang dipanggil Thomas) pula
memiliki tanah yang bersaiz lebih kecil bersebelahan tanah Pa, tetapi tidak
pernah menduduki mahupun mengerjakan tanah itu. Ahli keluarga Bender yang lain
adalah si ibu bernama Elvira atau “Ma” dan seorang anak perempuan bernama Kate
yang mengiklankan perkhidmatannya sebagai penghubung dan perawat Spiritualist.
Kawasan keluarga Bender bertanda kuning; berada di tengah-tengah laluan Osage Trail. |
Pa, berusia sekitar 60an, berperwatakan agak bengis dan
mempunyai suara garau. Ma pula merupakan wanita berusia pertengahan 50an dan
sikapnya yang biadap dan kasar telah menyebabkannya menerima jolokan “Perempuan
Iblis” daripada jiran-jiran. Kedua-dua anak mereka lebih fasih berbahasa
Inggeris berbanding dengan pasangan berumur itu yang lebih suka bertutur di
dalam bahasa Jerman.
Keluarga itu membina sebuah rumah dengan satu bilik,
dilengkapi dengan tirai kanvas yang memisahkan ruang kepada dua bahagian.
Bahagian hadapan adalah kedai dan penginapan (public inn) untuk tetamu,
manakala bahagian belakang adalah kuarters keluarga mereka. Para pengembara
Great Osage Trail yang mendekati kawasan Bender dialu-alukan untuk mengisi
perut dan menambah bekalan pedati mereka dengan arak, tembakau, baja kuda,
serbuk ubat bedil dan makanan. Kate, seorang wanita yang cantik dan peramah,
juga mampu menarik pelanggan ke bilik penginapan keluarganya dengan
kebolehannya dalam perawatan dan kuasa psikik. Kebanyakan pengembara
bersendirian yang datang adalah lelaki dan mereka selalunya akan memutuskan
untuk bermalam di situ.
Rumah Keluarga Bender |
Pelan Lantai Rumah |
Iklan Perkhidmatan Kate Bender |
Laluan di Great Osage adalah sangat merbahaya, dan banyak faktor yang menyebabkan para pengembara hilang ketika dalam perjalanan ke Bahagian Barat – penyamun, kemalangan, konflik dengan orang Asli Amerika, penyakit dan sebagainya. Namun dalam masa beberapa tahun, semakin ramai yang hilang setiap kali mereka melalui daerah Labette. Selalunya kehilangan ini mengambil masa yang lama untuk disedari, kerana waktu itu penghantaran surat dan berita sangat lambat.
Walau bagaimanapun, semuanya berubah pada Mac 1873 apabila seorang doktor dari Independence, Kansas bernama William York hilang sebaik saja tiba di stesen keretapi Cherryvale. Doktor York mempunyai dua orang abang yang berpengaruh: Kolonel Edward York dan Senator Negeri Kansas Alexander York – Mereka berdua bertekad untuk mengetahui apa yang sebenarnya terjadi kepada adik mereka.
Dr. William Henry York |
Kolonel York mengetuai siasatan di daerah Labette.
Memandangkan kekangan bahasa pasangan Benders, pasukan York menyoal siasat John,
Jr. dan Kate saja - Mereka menafikan sebarang pengetahuan berkenaan kehilangan
Dr York. Keluarga Bender mengakui lelaki itu pernah bermalam di penginapan
mereka, dan menyatakan dia mungkin “bertembung dengan Orang-orang Indian”.
Beberapa hari kemudian Kolonel Edward York dan pasukannya
datang lagi kerana mereka dimaklumkan
oleh seorang wanita bahawa Ma Bender tiba-tiba “mengamuk dengan ganas” sambil
mengacukan pisau. Ma menjelaskan kepada York bahawa pelawatnya itu adalah
seorang ahli sihir jahat yang telah menjampi kopinya. Pasukan penyiasat sangat terkejut kerana
rupa-rupanya Elvira “Ma” Bender sebenarnya mampu bercakap dalam bahasa
Inggeris.
Pada waktu yang sama, penduduk-penduduk pekan itu mengadakan
perjumpaan di sekolah Harmony Grove; semua ahli keluarga Bender turut
menghadiri perjumpaan itu. Para penduduk memutuskan untuk melakukan
penggeledahan setiap rumah dan ladang untuk mencari sebarang bukti mangsa yang
hilang. Malangnya sebelum pencarian bermula, Cherryvale dilanda cuaca buruk
selama beberapa hari.
Tiga hari selepas perjumpaan itu, seorang jiran bernama
Billy Tole menyedari haiwan peliharaan Bender terlepas dari kandang dan dalam
keadaan kelaparan. Apabila dia melihat rumah penginapan itu dengan lebih dekat,
rupa-rupanya ia telah kosong: Keluarga Bender telah melarikan diri! Sukarelawan
yang datang untuk sama-sama mencari John Sr, Elvira, John Jr dan Kate mendapati
kereta kuda keluarga itu juga lesap bersama-sama pakaian dan bekalan makanan.
Pada mulanya, rumah merangkap penginapan Bender kelihatan
kosong dan normal – Sehinggalah salah seorang penduduk pekan membuka sebuah
pintu kecil di lantai. Semua orang yang berada di situ sangat terkejut dan
gerun dengan apa yang mereka lihat.
Pintu lantai tersebut berada di belakang tirai di bahagian kuarters
peribadi keluarga Bender, mendedahkan bilik bawah tanah yang berbau teramat
busuk dan dilimpahi dengan darah. Pasukan penyiasat dan penduduk-penduduk
Cherryvale bergotong-royong mengangkat seluruh kabin itu dari tapaknya dan mula
menggali tanah. Namun, mereka tidak menjumpai apa-apa. Lantas mereka menumpukan
pencarian di kebun berhampiran – yang kelihatan seperti baru digembur; para
jiran memberitahu, kebun itu sentiasa kelihatan baru dibajak oleh keluarga
Bender.
Bekerja sehingga lewat petang, sukarelawan dan jiran berjaya menggali
keluar mayat Dr. York - Belakang kepalanya retak dan lehernya dikelar. Tidak
lama kemudian, semakin banyak mayat dijumpai dengan kecederaan yang sama, termasuk seorang kanak-kanak perempuan.
Laporan berkenaan jumlah mayat yang ditemui di kawasan rumah Bender adalah
berbeza-beza, tetapi jumlah yang diyakini adalah lebih daripada 12 orang. Keluarga itu
disyaki mungkin membunuh lebih ramai mangsa, sekurang-kurangnya 21 orang. Apa
yang menaikkan kemarahan semua orang - Perbuatan dahsyat ahli keluarga Bender adalah
semata-mata untuk merompak beberapa ribu dollar dan beberapa ekor haiwan
peliharaan saja.
Para penyiasat cuba mencantum modus operandi Keluarga Bender dan perkara yang berlaku ke atas mangsa-mangsa yang malang itu. Menurut teori Kolonel York dan pasukannya: Sewaktu dihidangkan makan malam, para tetamu penginapan Bender akan dipelawa untuk duduk membelakangi tirai kanvas. Ketika sedang asyik menikmati makanan, tetamu itu akan dihentam di kepalanya dengan menggunakan tukul dari belakang tirai. Kemudian mayatnya akan dihumban ke bilik bawah tanah, dan seterusnya dikelar di bahagian leher oleh salah seorang ahli Bender. Apa saja barang berharga milik mangsa akan diambil.
Sekitar penggalian mayat |
Para penyiasat cuba mencantum modus operandi Keluarga Bender dan perkara yang berlaku ke atas mangsa-mangsa yang malang itu. Menurut teori Kolonel York dan pasukannya: Sewaktu dihidangkan makan malam, para tetamu penginapan Bender akan dipelawa untuk duduk membelakangi tirai kanvas. Ketika sedang asyik menikmati makanan, tetamu itu akan dihentam di kepalanya dengan menggunakan tukul dari belakang tirai. Kemudian mayatnya akan dihumban ke bilik bawah tanah, dan seterusnya dikelar di bahagian leher oleh salah seorang ahli Bender. Apa saja barang berharga milik mangsa akan diambil.
Pisau yang dijumpai di rumah Bender |
Apabila seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Encik
Wetzell terdengar teori ini, dia teringat akan satu insiden yang berlaku semasa
dia bersama seorang rakan bermalam di rumah penginapan tersebut – Katanya, dia
menolak untuk duduk dekat dengan tirai kanvas, dan keputusannya itu telah menyebabkan
Ma Bender melenting dan memaki hamun tetamu-tetamunya. Sebaik saja Wetzell dan
rakannya melihat John Sr dan anak lelakinya tiba-tiba muncul dari sebalik tirai
itu, mereka memutuskan untuk beredar dari rumah keluarga tersebut. Seorang
pengembara bernama William Pickering juga mempunyai cerita yang lebih kurang
sama.
Jenayah Bender menjadi kisah sensasi di dalam akhbar,
menarik perhatian ramai wartawan dan orang awam dari seluruh negara. Menurut
Minneapolis Star-Tribune, semakin banyak keretapi yang tiba ke Cherryvale –
membawa lebih dari 3000 orang yang datang untuk melihat sendiri tempat
kejadian. Penulis buku di Philadelphia yang menulis “The Five Fiends, Or The
Bender Hotel Horror in Kansas” menyatakan bahawa tidak terkira para pelawat
yang pernah mendengar kisah rompakan dan pembunuhan yang tidak berhati perut
itu - “Malah ada pelawat lelaki yang berada di rumah Bender mengalirkan air
mata.” Rumah yang menyaksikan siri pembunuhan tersebut ditanggal dan dicabut
satu persatu oleh sesetengah pelawat untuk dibawa balik dan dijadikan
cenderamata.
Salah satu keratan akhbar yang mensensasikan siri pembunuhan itu |
Senator York menawarkan ganjaran sebanyak $1000 dan ditambah
$2000 lagi oleh Gabenor Kansas, Thomas Osborn, kepada sesiapa yang berjaya
menangkap Keluarga Bender – Tetapi tiada seorang pun yang menuntut ganjaran
itu. Dalam tahun-tahun berikutnya, beberapa orang wanita ditahan dan disyaki
sebagai Ma atau Kate. Namun suspek-suspek itu gagal dikenalpasti dengan sah.
Dikatakan sekumpulan pemburu penjenayah mengumumkan bahawa mereka telah menemui
kesemua ahli keluarga Bender dan membunuh mereka, tetapi mereka tidak dapat
membawa sebarang bukti. Menurut khabar angin, pasangan Bender yang tua dilihat
di Kansas City ketika mereka sedang dalam perjalanan ke St. Louis dan anak-anak
Bender pula dikesan menuju ke arah sebuah koloni yang rata-rata diduduki
penjenayah, yang terletak di antara sempadan Texas dan New Mexico. Apapun tiada
siapa yang tahu apa yang terjadi ke atas mereka.
Penyiasatan kes ini menemui kebuntuan kerana penipuan dan
pemalsuan “keluarga” tersebut dari mula lagi: Tiada seorang pun di antara
mereka yang bernama Bender, dan ahli kumpulan tersebut yang berkemungkinan
besar mempunyai pertalian persaudaraan pun adalah Ma dan anak perempuannya,
Kate. Nama sebenar “Pa” dilaporkan sebagai John Flickinger, dan dilahirkan pada
awal 1800an sama ada di Jerman ataupun Belanda. “Ma” pula adalah Almira Meik, dan
suami pertamanya bernama Simon Mark – Mereka dikurniakan 12 orang anak. Setelah
bercerai, wanita itu berkahwin beberapa kali lagi termasuk dengan William
Griffith, yakni bapa kepada Kate. Pa adalah suami Almira yang terbaru. Walau
bagaimanapun, kesemua suaminya yang terdahulu dikatakan meninggal dunia akibat
kecederaan di kepala. Anaknya Kate, mempunyai nama sebenar iaitu Eliza
Griffith. Identiti sebenar John Bender, Jr. adalah John Gebhardt. Ramai orang
yang mengenali mereka di Kansas menyatakan bahawa Gebhardt dan Kate adalah
suami isteri bukan adik beradik seperti yang dicanang sebelum itu.
Pada hari ini, sebarang tinggalan menunjukkan
lokasi dan kedudukan rumah Bender sudah tidak wujud lagi. Sebaliknya sebuah muzium didirikan di tapak asal rumah Bender sebagai ganti untuk mengingati peristiwa hitam yang pernah berlaku di pekan kecil tersebut. Selain itu terdapat satu papan tanda khas di kawasan rehat di sebuah lebuh raya utara Cherryvale. Walaupun khabar angin
masih menyelubungi kes itu – Ada yang mengatakan Ma telah membunuh Pa kerana
berebutkan harta, ada juga yang syak seorang lelaki yang membunuh diri di Tasik
Michigan pada 1884 adalah Pa – Selepas 145 tahun, kita tidak akan menghampiri
kebenaran dan tahu apa yang telah berlaku ke atas Bender, Keluarga Pembunuh.
Ramai sejarawan percaya wanita di dalam gambar ini adalah Kate Bender/Eliza Griffith Muzium Bender di Cherryvale, Kansas |
Sumber:
Wikipedia
Mental Floss
Rugged Frontier Kansas
Ulasan
Catat Ulasan