Mercy Brown: Mangsa Kepanikan Penduduk Rhode Island



Pada abad ke-19, New England di Amerika Syarikat dilanda panik akan wabak tuberkulosis atau lebih dikenali waktu itu sebagai “consumption”.

Tuberkulosis (TB) adalah punca utama kematian pada 1800an, dan menurut catatan sejarah, ia adalah kematian yang penuh dahsyat. Simptom biasa adalah seperti demam panas, batuk berdarah, mata cengkung dan kemerosotan fizikal yang menyebabkan pesakit kelihatan tidak bermaya.



Penyakit ini merebak dengan pantas dan meluas, dan mengorbankan banyak nyawa, hingga menimbulkan khabar angin bahawa apa yang berlaku ada kaitan dengan kuasa jahat. Para penduduk terutamanya di Rhode Island, Connecticut, dan Vermont menyalahkan pontianak kerana “menyebarkan penyakit itu dari seorang pesakit ke pesakit yang lain.”

Bagi membendung masalah tersebut, mayat-mayat pesakit TB digali keluar dari kuburan. Organ dalaman dibakar untuk mengelakkan daripada dimakan pontianak, yang seterusnya akan memindahkan pula penyakit itu kepada orang lain.

Ada juga ritual yang lebih ekstrem daripada itu. Menurut sejarawan, ia dilakukan ke atas seorang gadis berusia 19 tahun bernama Mercy Brown.

Mercy Lena Brown dan keluarganya tinggal di Exeter, Rhode Island. Dia merupakan anak ketiga daripada lima beradik. Daerah Exeter mempunyai penduduk yang jarang dan para petani dikatakan berhempas pulas mengusahakan tanahnya yang berbatu.

Tuberkulosis, seperti penyakit-penyakit yang lain, masih belum difahami sepenuhnya oleh penduduk Exeter waktu itu. Mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang harus ditakuti, seperti pencuri misteri dan gelap yang muncul di tengah malam.

Bermula pada bulan Disember 1882, seorang demi seorang ahli keluarga Brown menemui ajal akibat TB dalam jangka masa yang pendek. Mula-mula Mary Elize, ibu Mercy. Pada tahun berikutnya kakak Mercy, Mary Olive pula menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 20 tahun. Belasungkawa (obituary) gadis itu menggambarkan bahawa dia sudah banyak menanggung penderitaan sehingga dirinya sudah bersedia untuk pergi ke dunia lain.

Kubur ahli-ahli keluarga Brown

Tidak lama kemudian si abang bernama Edwin, seorang yang berbadan besar dan sasa, didapati mula menunjukkan simptom penyakit TB. Namun untuk mengelakkannya jadi lebih melarat, dia terus dihantar ke Colorado Springs dengan harapan cuaca di situ akan menyembuhkan penyakit tersebut.

Sekembalinya Edwin pada 1891, Mercy pula didapati menghidap TB. Dia dikatakan dijangkiti penyakit itu tetapi dalam bentuk lebih agresif. Seorang doktor yang merawat gadis tersebut memberitahu bapanya, George Brown bahawa tiada ubat yang dapat menyelamatkannya. Pada Januari 1892, Mercy meninggal dunia dan pada belasungkawanya tertulis ringkas: “Cik Lena Brown, menderita akibat ‘consumption’, meninggal dunia pada pagi Ahad.”

Oleh kerana terlalu ramai ahli keluarga Brown yang mati, penduduk Exeter menyatakan rasa syak mereka kepada George bahawa keluarganya berkemungkinan telah disumpah. Mereka juga yakin salah seorang wanita Brown, walaupun sudah dikubur tapi belum benar-benar mati. Kini dia mungkin datang setiap malam untuk memakan “tisu badan dan darah Edwin.”

Penduduk Exeter percaya langkah penting untuk menyembuhkan Edwin adalah menentukan salah seorang ahli keluarga wanita Brown yang bertanggungjawab dan memusnahkan mayatnya.

Para jiran meminta kebenaran George Brown untuk menggali semula kubu-kubur isteri dan dua anak perempuannya untuk memeriksa sekiranya ada kesan darah segar di dalam jantung mereka. Lelaki berumur itu bersetuju. Maka penggalian semula dilakukan pada pagi 17 Mac 1892. Selepas 10 tahun disemadikan, jasad Mary Eliza Brown dan Mary Olive Brown hanya tinggal tulang. Namun Mercy baru saja dikuburkan beberapa bulan sebelumnya, yakni musim sejuk. Apabila mayatnya dikeluarkan, tiada tanda-tanda pereputan. Lantas jiran-jiran yang berada di situ memutuskan bahawa Mercy adalah pontianak.




Salah seorang doktor yang menghadiri penggalian semula mencatatkan pemerhatiannya: mayat Mercy masih dalam keadaan yang baik. Doktor itu juga mengeluarkan organ-organ dalaman gadis itu seperti hati dan jantung. Sebaik saja jantungnya dibelah, si doktor menemui darah mereput. Hasil pemeriksaan paru-parunya mengesan kehadiran kuman-kuman TB yang sudah tidak aktif.

Walau bagaimanapun, para jiran beranggapan bahawa mereka telah menemui pontianak yang mengganggu ketenangan hidup penduduk Exeter. Mereka membakar jantung dan hati Mercy di atas batu, dan kemudian memberikan abunya kepada Edwin Brown untuk dimakan dan diminum seperti tonik – Kononnya agar dapat membalikkan simptom-simptom “serangan pontianak”. Malangnya ritual itu tidak berjaya; Edwin meninggal dunia dua bulan selepas itu.

Antara laporan akhbar berkenaan ritual aneh itu

Mayat Mercy yang telah dicemari oleh perbuatan keji jiran-jirannya dikebumikan di perkuburan Gereja Baptist Exeter.

Walaupun sudah lama bersemadi, insiden itu membuatkan Mercy Brown sangat terkenal dan mencetuskan kultusnya yang tersendiri di kalangan pensimpati dan juga peminat-peminat pontianak. Dia adalah inspirasi untuk beberapa karya penulisan, termasuk buku “The Shunned House” oleh H.P. Lovecraft dan juga watak Lucy dalam “Dracula” Bram Stoker.

Tidak kira apa pandangan dan kepercayaan anda, melawat ke kubur Mercy sama ada akan membuatkan anda diselubungi perasaan sedih atau terdengar-dengar akan suara berbisik dari abad lampau.




Sumber

Wikipedia

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Matinya Si Superman

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf

Margaret Clement: Si Wanita Paya