Shanti Devi dan Kisah Kelahiran Semulanya






Shanti Devi dilahirkan pada 11 Disember, 1926 di Chirawala Mohulla, sebuah pekan kecil di Delhi. Ketika kecil, dia dikatakan tidak gemar bercakap sehinggalah mencapai usia 4 tahun, tapi keseluruhannya Shanti adalah seorang gadis yang normal.


Pada usia 4 tahun, gadis kecil itu mula memberitahu rumah yang didiaminya sekarang bukanlah rumahnya yang sebenar, begitu juga ibu bapanya – mereka adalah org asing baginya. Dia juga menyatakan nama sebenarnya adalah Lugdi bukan Shanti Devi. Ibu bapanya pada waktu itu cuma beranggapan si anak mempunyai daya imaginasi tinggi.


Shanti bersama bapanya


Apabila mencecah usia 6 tahun dan tertekan kerana terpaksa menerima ‘orang asing’ sebagai ibu bapanya, Shanti pernah cuba melarikan dirinya ke Mathura kampung halaman ‘sebenar’nya yang sejauh 145km dari Delhi.

Bukan saja di rumah, di sekolah juga dia bercerita dalam dialek Mathura bahawa dirinya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki. Suaminya, kata Shanti, memiliki sebuah kedai kain yang berada di depan kuil Dwarkadhish. Dia juga menggambarkan rupa fizikal suaminya – berkulit cerah, ada ketuat (wart) pada pipi kirinya dan memakai cermin mata tetapi dia tidak mendedahkan nama suaminya itu.

Selain itu, Shanti Devi juga memberitahu dia mati 10 hari selepas melahirkan anaknya.

Setiap kali makan di rumahnya, Shanti akan menyatakan dia selalu makan pelbagai jenis manisan di rumah asalnya. Kadang-kadang mengenang semula pakaian-pakaian kegemarannya ketika masih berada di Mathura.

Ibu bapanya mula bimbang akan kesihatan mental anak mereka, lantas membawanya berjumpa dengan doktor keluarga. Dan dengan doktor itu juga, Shanti berkongsi kisah dari mula kehidupan sehinggalah saat kematiannya. Apa yang mengkagumkan si doktor adalah bagaimana budak berumur 6 tahun itu dapat menjelaskan prosedur pembedahan yang sukar itu secara terperinci.

Shanti Devi menyebut nama suaminya buat pertama kali pada usia 9 tahun. Keengganan gadis itu pada mulanya adalah kerana adat India melarang para isteri menyebut nama suami walau apa keadaan sekalipun, sebagai tanda hormat.

Seorang guru di sekolah Shanti yang juga saudara jauhnya, Babu Bishanchand memujuk budak itu dengan berjanji akan membawanya ke Mathura sekiranya dia mendedahkan nama suaminya itu. Maka Shanti pun berbisik ke telinga Bishanchand: ‘Pandit Kedar Nath Chaube’. Guru itu terus mencari alamat lelaki tersebut dan menulis sepucuk surat, menceritakan segala-galanya serta meminta Kedar Nath untuk datang ke Delhi. Kedar Nath membalas surat itu; mengakui seluruh cerita Shanti Devi adalah benar dan isterinya, Ludgi memang meninggal dunia 10 hari selepas melahirkan anak. Lelaki itu juga memberitahu salah seorang saudaranya, Pandit Kanjimal yang tinggal di Delhi akan berjumpa Shanti terlebih dahulu.


Suami Lugdi/Shanti; Pandit Kedar Nath Chaube


Pada pertemuannya dengan Shanti Devi, Pandit Kanjimal amat terkejut dengan maklumat yang cukup terperinci mengenai Kedar Nath, oleh gadis kecil itu. Maka lelaki tersebut mengatur perjumpaan antara Shanti dan ‘suami’nya. Akhirnya Kedar Nath datang juga, bersama anak hasil perkahwinannya dengan Ludgi, serta isteri barunya.

Namun, Kedar Nath berpura-pura berlagak sebagai abang kepada dirinya tetapi Shanti serta merta dapat mengecam rupanya, dan juga anak lelakinya Navneet Lal. Dengan rasa penuh gembira, si gadis kecil itu juga berkata kepada ibunya sambil menunjuk – ‘Lihatlah, bukankah saya dah cakap kulitnya cerah, dan ada ketuat pada pipi kirinya.’

Semasa Kedar Nath berada di Delhi, Shanti Devi meminta ibunya untuk masakkan kari labu dan roti prata berinti ubi kentang kerana kedua-duanya adalah makanan kegemaran si ‘suami’. Kedar Nath tidak terkata-kata apabila dihidangkan makanan-makanan ini kerana ia memang kesukaannya.

Untuk menambah keyakinan dengan dakwaan Shanti adalah isterinya pada kehidupannya yang lampau, Kedar Nath menyuruh budak itu memberitahu perkara yang lebih unik dalam ingatannya. Lantas Shanti bercerita mengenai perigi yang berada di halaman rumah lelaki itu di mana tempat dia (Ludgi) selalu mandi.

Kemudian Shanti Devi mempersoalkan kenapa Kedar Nath berkahwin lagi sedangkan dia pernah berjanji padanya (Ludgi) ketika wanita itu sedang nazak yang dia akan hidup menduda sehingga akhir hayat. Kedar Nath mula rasa malu tidak mampu memberikan jawapan. Shanti pula dengan selamba berkata tujuan dia dilahirkan semula adalah kerana tidak puas hati dengan suaminya yang mungkir janji itu.

Akhirnya, Kedar Nath meminta kebenaran kedua ibu bapa Shanti agar dapat bersendirian dengan anak mereka unutk menanyakan soalan yang terakhir dan sangat peribadi. Sejak malam itulah, lelaki tersebut menerima hakikat bahawa Shanti Devi adalah kelahiran semula mendiang isterinya, Lugdi.

Hasil penyiasatan bertahun-tahun kemudian, mendedahkan isi pertanyaan rahsia dan teramat peribadi Kedar Nath kepada Shanti – Bagaimana dia (Ludgi) mampu hamil sedangkan wanita itu sukar untuk bangun akibat radang sendi ketika hayatnya. Maka Shanti Devi menceritakan cara persetubuhan mereka dari mula hingga kahir.

Kisah Shanti Devi tersebar hingga ke pengetahuan Mahatma Gandhi. Tokoh yang disegani itu melantik 15 individu terkemuka termasuk ahli parlimen, pengamal media dan ketua masyarakat untuk menyiasat kes ini.

Pasukan khas itu membawa Shanti Devi ke Mathura – di stesen keretapi bandar tersebut, mereka menyuruh gadis itu untuk mendekati seorg lelaki asing dan ditanya sama ada dia kenal lelaki tersebut. Shanti dengan segera menyentuh kedua-dua kaki lelaki itu dan menyatakan bahawa dia adalah abang kepada suaminya – tekaannya memang tepat.

Kemudian, dia juga cam rumah ibu bapa Ludgi, ahli-ahli keluarga, kawan-kawan lamanya dan tempat dia menyembunyikan tabung wang simpanan rahsianya.

Dalam perjalanan ke rumah Kedar Nath, Shanti Devi memberi komen mengenai beberapa perubahan yang berlaku di sekitar Mathura sejak kematiannya. Perubahan-perubahan yang dikatakannya itu telah disahkan benar oleh penduduk tempatan.

Setibanya di rumah suaminya, Shanti terus menuju dan memberi tanda hormat ke arah bapa mertuanya yang sengaja bercampur dan berkumpul bersama-sama penduduk-penduduk yang lain. Dia juga masih mengingati barang-barang kepunyaannya, bilik tidurnya, kejadian-kejadian yang berlaku di rumah itu termasuklah di mana dia dan Kedar Nath pernah tinggal secara berasingan di dalam rumah yang besar tersebut.

Shanti juga diberikan beberapa soalan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang hanya ahli klan keluarga Chaube di Mathura saja yang tahu. Dia dengan tenang berjaya menjawab kesemuanya. Kemudian, dia diminta untuk menunjukkan kepada para penyiasat di mana perigi yang pernah diceritakannya sebelum itu. Apabila sampai ke tempat itu, mereka semua terkejut kerana perigi itu tiada. Namun Kedar Nath mengalihkan sebongkah batu yang besar, dan menyerlahkan perigi seperti yang diingati oleh Shanti Devi.

Akhirnya setelah melakukan beberapa penyiasatan, kajian dan sesi soal siasat, pasukan khas itu mengisytiharkan Shanti Devi adalah kelahiran semula Ludgi. Tidak lama kemudian, kes aneh Shanti Devi mendapat perhatian antarabangsa dan beratus-ratus saintis, ilmuwan, pewaham (skeptics) dan pengkaji datang untuk pengesahan lebih lanjut.



Shanti Devi sewaktu remaja

Salah seorang pengkritik dan pewaham terkenal Sweden, Sture Lonnerstrand sanggup datang ke India untuk membuktikan bahawa kisah Shanti Devi – pada waktu itu sudah berumur, adalah palsu dan penipuan semata-mata. Walau bagaimanapun, hasil daripada siasatannya yang berminggu-minggu Sture mengakui apa yang berlaku pada Shanti adalah benar dan kes wanita itu adalah satu-satunya kelahiran semula yang tidak dapat disangkal.

Buku berkenaan kes Shanti tulisan Lonnerstrand


Shanti Devi tidak pernah berkahwin hingga saat dia menghembuskan nafas terakhirnya pada 27 Disember 1987.




Ulasan

  1. babylisspro nano titanium - titanium-arts.com
    Find best babylisspro nano titanium products in the Tintan titanium max Store is titanium lighter than aluminum ✓ Grab your daily gr5 titanium delivery & get online delivery titanium apple watch band for delivery or welding titanium delivery.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Matinya Si Superman

Kes Glico-Morinaga: Lelaki Raksasa Dengan 21 Wajah

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf