KES TOPENG LEAD (The Lead Masks Case)
Dua kematian dalam satu kejadian ganjil telah berlaku di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1966. Sehingga kini kematian mereka dianggap sebagai unik dan tiada siapa yang boleh memberikan penjelasan yang tepat dan logik mengenainya.
Pada 17 Ogos 1966, dua pekerja membaiki elektronik dari Campos dos Goytacazes menaiki bas ke bandar, memberitahu keluarga bahawa mereka ingin pergi membeli barangan untuk kerja dan juga membeli kereta terpakai. Lelaki-lelaki itu - Miguel Jose Viana and Manoel Pereira da Cruz, kemudiannya singgah di sebuah bar untuk membeli sebotol air. Penjaga bar yang menceritakan semula kepada pihak polis, perasan akan Miguel yang kelihatan terburu-buru dan gelisah sambil melihat jam tangannya. Itulah kali terakhir dua sekawan itu dilihat masih hidup.
Tiga hari kemudian, seorang pemuda Jorge Costa Alves sedang bermain laying-layang di Bukit Vintém (Morro do Vintém) apabila dia menemui mayat kedua-dua lelaki itu, dan dia lantas menghubungi pihak berkuasa. Polis dapat mengesan tempat terakhir Miguel dan Manoel dilihat dan menemui pelbagai barang pada tubuh dan sekeliling mayat mereka. Kedua-duanya berpakaian kemas – iaitu ‘suits’ dan kot kalis air. Selain itu, mereka memakai topeng diperbuat dari ‘lead’ (plumbum) tanpa lubang mata, seolah-olah dipakai bagi mengelak daripada pancaran radiasi.
Lakon semula |
Di tempat kejadian itu juga, terdapat sebotol air, satu paket plastik mengandungi dua tuala basah dan buku nota. Buku nota itu menambahkan lagi kekeliruan bagi para penyiasat. Dengan tatabahasa yang tunggang langgang, di dalamnya tertulis; "16:30 estar no local determinado. 18:30 ingerir cápsulas, após efeito proteger metais aguardar sinal mascara" (16:30 berada di lokasi spesifik yang telah diberitahu. 18:30 telan kapsul, selepas efek lindung topeng metal tunggu isyarat). Wang untuk pembelian kereta pula tidak ditemui.
Nota misteri yang ditemui |
Beberapa autopsi telah dilakukan beberapa hari selepasnya, namun ini juga tidak memberikan jawapan yang dicari oleh pihak polis. Tiada kecederaan dan tiada apa yang ditemui pada mayat-mayat mangsa yang boleh diklasifikasikan sebagai penyebab kematian mereka. Kemungkinan besar kapsul yang ditelan memainkan peranan. Dikatakan dalam hal-hal sebegini ujian toksikologi adalah normal, tetapi tidak dijalankan pula dalam kes ini. Kenapa? Menurut polis, jabatan koroner sangat sibuk sehingga organ-organ mangsa dibiarkan mereput begitu saja – Seterusnya menghilangkan apa saja sisa-sisa racun atau bahan asing yang tinggal.
Sekitar penemuan mayat di tempat kejadian |
Akhirnya para penyiasat dan orang ramai yang berminat mengenai kes ini mengemukakan beberapa teori – Miguel dan Manoel bertemu dengan seseorang berkaitan dengan bahan radioaktif, mereka sedang melakukan eksperimen, juga mungkin mereka ditipu dan dibunuh kemudian dibuang di bukit tersebut. Mangsa-mangsa juga dikatakan mungkin sedang menunggu untuk menaiki sebuah kapal angkasa.
Fakta menarik:
- Seorang rakan kepada kedua-dua lelaki itu menyatakan bahawa Miguel dan Manoel adalah ahli satu kumpulan ‘scientific spiritualists’ – Mereka percaya penggunaan dadah membolehkan mereka menghubungi makhluk asing atau roh. Topeng itu pula bagi melindungi mata mereka daripada cahaya yang sangat terang benderang ketika ‘mencari’ makhluk-makhluk tersebut.
- Penulis yang mengkaji kes ini, Jacques Vallee mendapati walaupun beberapa tahun selepas kejadian itu berlalu, rumput tidak tumbuh lagi di tempat mayat-mayat itu berada.
- Bukit Vintém pernah jadi tumpuan kerana dikenali sebagai hotspot untuk UFO. Penduduk-penduduk di situ mendakwa selalu melihat kapal-kapal angkasa yang pelik terbang dan mengelilingi bukit tersebut.
Ulasan
Catat Ulasan