Kes Pembunuhan Empat Sekeluarga di Setagaya, Jepun





Pada pagi 31 Disember 2000, salah seorang saudara kepada keluarga Miyazawa menemui mayat si ayah Mikio, 44, isteri Yasuko, 41, anak perempuan mereka Niina, 8, anak lelaki Rei, 6, di rumah mereka di Setagaya, Tokyo. Rei dipercayai mati akibat dicekik di bilik tidurnya manakala tiga orang ahli keluarganya ditikam. Mayat Mikio, Yasuko dan Niina ditemui bergelimpangan di dua bahagian rumah tersebut.

Pihak berkuasa membuat andaian bahawa pembunuh tersebut masuk melalui tingkap bilik air di tingkat dua rumah Miyazawa dalam pukul 11.30 malam. Dia mula-mula menuju ke bilik Rei yang sedang tidur waktu itu dan terus mencekiknya. Mikio ditemui di tingkat bawah berdekatan dengan tangga, berkemungkinan cuba naik ke atas apabila mendengar bunyi bising tersebut. Mangsa seterusnya adalah isteri dan anak perempuannya pula.

Pembunuh kemudiannya menggeledah seluruh rumah keluarga malang itu, dan dikatakan menghabiskan masanya di situ selama 10 jam. Apabila selesai melakukan perbuatan kejamnya ke atas Mikio, isteri dan anak-anaknya, dia pergi ke dapur dan memakan ais krim, serta menggunakan komputer keluarga Miyazawa. Polis juga mengesahkan pembunuh itu turut mencuri wang dan sehelai baju sejuk. Selain itu, sebilah pisau yang digunakan untuk menikam mangsa telah ditinggalkan, bersama baju t-shirt dan beg. Terdapat kesan darah individu asing di tempat kejadian.

Kes ini dianggap di antara yang terbesar di Jepun dengan melibatkan lebih kurang 200,000 orang penyiasat, yang mengumpul 12 ribu bahan bukti dan maklumat orang awam. Setiap sudut diambil kira dan dikaji hinggalah ke najis pembunuh yang ditinggalkan di rumah Miyazawa. 

Hasil analisis DNA pada darah asing pula mendedahkan bahawa si pembunuh bukan berketurunan Jepun. Pakar mengatakan kemungkinan besar sebelah ayahnya adalah berasal dari Korea, manakala ibunya berdarah Eropah.

Walau bagaimanapun, 16 tahun kemudian kes menyayat hati itu masih belum dapat diselesaikan. Setakat ini ganjaran sebanyak 20 juta Yen ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh kejam itu.




Fakta menarik:

  • Kawasan rumah keluarga Miyazawa dikatakan makin kurang penduduknya, taman skate park yang diperluaskan di kawasan itu telah menyebabkan ramai penduduk memilih untuk berpindah. Bising dan ketidakselesaan adalah antara faktor penyebab. Pada masa kejadian, cuma empat buah keluarga sahaja lagi yang masih berada di kejiranan Setagaya tersebut.



  • Saksi pernah melihat Mikio berselisih faham dengan salah seorang ‘skateboarder’, malah ada yang percaya beliau sebenarnya bergaduh dengan ahli gang bermotosikal, Bōsōzoku.
  • Keluarga itu dan beberapa orang saksi lain pernah memberitahu sesama sendiri, melihat kelibat beberapa orang lelaki yang tidak dikenali lalu lalang di depan rumah Miyazawa dalam tempoh tiga malam sebelum pembunuhan.








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Matinya Si Superman

Kes Glico-Morinaga: Lelaki Raksasa Dengan 21 Wajah

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf