Kes Kehilangan Anak-anak Sodder



Pasangan George dan Jennie Sodder merupakan imigran Itali, kedua-duanya contoh terbaik bagi slogan ‘Impian Amerika’ – George bermula sebagai pekerja laluan keretapi di Pennsylvania hingga berjaya memiliki syarikat trak di West Virginia. Berkahwin pada awal 1920-an, keluarga mereka pun berkembang dengan 10 orang anak dan tinggal di sebuah rumah dua tingkat di utara Fayetteville, sebuah bandar di mana penduduk majoritinya pendatang dan keturunan mereka yang berasal dari Itali.

Jennie bersama anak sulungnya, John

Selain dikenali sebagai seorang lelaki yang kuat dan rajin bekerja serta ketua keluarga yang berdedikasi, George juga terkenal di bandar itu sebagai seorang yang suka berterus terang dan menyampaikan pendapat sendiri walau pahit sekalipun. Beliau dikatakan gemar mengutarakan kepada khalayak ramai mengenai kebenciannya terhadap diktator fasis Benito Mussolini - yang dilihat oleh kebanyakan rakyat Amerika berketurunan Itali sebelum Perang Dunia Kedua; sebagai lambang kegagahan yang telah mengembalikan kehebatan negara Itali. Menjadi satu kebiasaan bagi George untuk berselisih faham dengan penduduk berdarah Itali-Amerika yang lain – Malah menurut keluarga Sodder, ketika musim perang ayah mereka itu pernah menerima banyak ugutan bunuh.


Pada malam sebelum Krismas 1945, pasangan Sodder meraikannya dengan meriah bersama sembilan daripada 10 anak mereka. Perang telah berakhir, dan anak sulung - Joe akan kembali ke kampung halaman dari tugas tenteranya. Anak perempuan George dan Jennie paling tua, Marion pula telah membeli hadiah untuk adik-adiknya yang kecil dengan wang gaji daripada kerja barunya. Lewat malam setelah puas bermain, barulah kelima-lima anak Sodder – Maurice,14, Martha,12, Louis,10, Jennie (nama sama dengan ibu),8, dan Betty,6, masuk tidur di loteng tingkat atas.



Dari kiri ke kanan: Jennie, Martha, Maurice, Betty & Louis Sodder

Pada pukul 1 pagi, ibu mereka Jennie terbangun dari tidur nyenyaknya apabila terdengar bunyi hentaman pada bumbung rumah yg diikuti dengan bunyi benda bergolek. Beliau menyambung semula tidur, namun tersedar semula 30 minit kemudian apabila terhidu bau asap. Jennie menyedari api sedang marak membakar kotak fius di bilik kerja George. Lampu Krismas kelihatan berkelip-kelip di ruang tamu tingkat bawah, dan anak-anak masih tidur di loteng.

George, Jennie, Marion, Sylvia yang berumur 2 tahun dan dua lagi anak lelaki Sodder yang lebih tua, John, 23 dan George Jr., 16 berjaya keluar dari rumah itu; John mengatakan dia telah naik ke loteng untuk mengejutkan adik beradiknya. Walau bagaimanapun, pernyataan ini berubah sekali lagi apabila John mengaku yang dia sebenarnya hanya menjerit memanggil-manggil kelima-lima mereka dari bawah.

Memburukkan lagi keadaan, kejadian kebakaran ini juga berlaku pada Krismas dan di tengah-tengah malam; maka bandar Fayetteville berada dalam keadaan sunyi sepi. Kebanyakan lelaki tempatan masih berkhidmat dalam ketenteraan, dan jabatan bomba kekurangan pekerja.

Tambahan pula beberapa insiden misteri dan malang turut berlaku, yang turut menggagalkan usaha menyelamatkan anak-anak Sodder. Tangga tinggi yang selalunya disandarkan pd dinding luar rumah tidak dapat ditemui. Air di dalam tong simpanan didapati membeku dan talian telefon rumah mereka putus. George Sodder cuba menghidupkan enjin traknya, agar dapat meletakkannya di bawah tingkap loteng dan seterusnya beliau dapat memanjat ke rumahnya dan mengeluarkan anak-anaknya dari situ. Namun enjin trak tersebut tidak berfungsi, padahal beliau baru saja menggunakannya awal minggu itu. Lantas George cuba memanjat juga dinding dan memecah tingkap loteng. Malangnya beliau tidak dapat masuk ke bilik tidur mereka. Akhirnya dengan hati yang berat dan penuh kesedihan, keluarga Sodder hanya mampu melihat rumah dan juga anak-anak mereka terbakar sepanjang mlm itu.

Pihak bomba tiba pada pukul 8 keesokan paginya. Dikatakan kelambatan mereka itu adalah kerana Ketua Bomba Fayetteville F.J. Morris tidak tahu memandu lori bombanya sendiri. Penyiasatan acuh tak acuh selama dua jam dilakukan, sedangkan kalau diikutkan penyiasatan bomba selalunya mengambil masa berhari-hari hingga berminggu lamanya. Tiada tulang ditemui, dan keluarga Sodder diberitahu bahawa anak-anak mereka telah terbakar hingga tiada sisa yang tinggal. Tidak lama kemudian, George Sodder yang tidak mampu menanggung perasaan sedih setiap kali melihat tinggalan rumahnya yang terbakar itu, mengambil keputusan meruntuh dan mengambus kesemuanya sedalam lima kaki dengan menggunakan bulldozer.

Pada minggu-minggu berikutnya, keluarga Sodder berpendapat anak-anak mereka telah diculik oleh ahli geng Mafia, yang marah dan berdendam ke atas sentimen anti-Mussolini George itu. Tangga yang hilang akhirnya ditemui dihumban ke dalam sungai berdekatan. Para penyiasat berpendapat kebakaran itu berpunca daripada kerosakan wayar, walaupun beberapa hari sebelum itu George baru saja mengupah tukang elektrik membaiki dan menukar kesemua sistem wayar di rumah itu. Juga masa kebakaran, lampu Krismas masih berkelip-kelip. Selain itu, mereka dikhabarkan mengenai seorg pemilik hotel menerima tetamu yang berperangai pelik bersama beberapa org kanak-kanak yang kelihatan seperti anak-anak Sodder. Jennie turut melakukan siasatan sendiri – setelah berbual-bual dengan pekerja krematorium tempatan, beliau yakin tulang temulang anak-anaknya tidak akan lenyap terbakar begitu saja.

Keluarga Sodder mendapatkan khidmat seorang penyiasat persendirian, yang akhirnya mendedahkan maklumat yang amat mengejutkan. Menurutnya, Ketua Bomba F.J. Morris menemui secebis jantung di dalam kemusnahan akibat kebakaran itu. Dalam senyap2 Morris meletakkannya di dalam sebuah kotak dan terus menanamnya.

Apabila berhadapan dengan keluarga Sodder, Morris mengakui cerita itu, dan beliau setuju membawa George ke tempat di mana jantung itu ditanam. Seperti yang disangka, terdapat sedikit cebisan daging di dalam kotak tersebut, tetapi apabila dihantar ke rumah pengebumian mayat, pemiliknya mengatakan cebisan itu hanyalah hati lembu biasa yang langsung tiada kesan kebakaran ke atasnya.

Morris turut mengakui ketidakcekapannya - dia tidak tahu memandu trak bomba, dan juga siasatan selama dua jam pada pagi Krismas itu memang tidak mencukupi. Tambahan pula sisa kebakaran yang kemungkinan mengandungi mayat anak-anaknya telah ditimbus begitu dalam oleh George Sodder – ini sedikit sebanyak melemahkan siasatan polis dan bomba.

George dan keluarganya tetap berkeras dengan teori yang anak-anaknya telah diculik. Di mana-mana saja di bandar Fayetteville papan billboard dan risalah terpampang pertanyaan mengenai nasib dan keadaan mereka. Ganjaran dari $5 ribu telah dinaikkan hingga $10 ribu dgn harapan untuk bertemu semula dgn kelima-lima adik beradik itu. Salah satu billboard masih kekal sehingga kini, dan dijadikan sebagai mercu tanda lebuh raya di bandar itu.


Jennie dan George di hadapan papan billboard


Pada tahun 1967, sekeping gambar telah dikirim kepada keluarga malang tersebut – menyatakan bahawa lelaki dalam gambar itu adalah Louis. Di belakang gambar tertulis:


Louis Sodder
I love brother Frankie
Ilil boys
A90132 or 35

Adakah pemuda ini Louis Sodder?


Setelah beberapa lama, org ramai berpendapat mungkin si pengirim sekadar mempermainkan perasaan dan harapan keluarga Sodder yang waktu itu kisah tragis mereka telah diketahui seluruh negara. 


Walaupun terdapat beberapa tips dan maklumat diterima, tiada satu pun yang menjanjikan perkembangan positif – Apa yang sebenarnya telah terjadi ke atas lima orang anak George dan Jennie Sodder pada malam Krismas 1945? Adakah mereka benar-benar diculik oleh musuh ayah mereka iaitu geng mafia? Atau kesemuanya menemui ajal dalam kebakaran seperti yang difikirkan dari mula lagi?




Fakta menarik:
  • Bekas tapak rumah keluarga Sodder itu dijadikan sebagai taman memorial. Ibu mereka, Jennie menganggap kawasan itu seolah-olah kawasan perkuburan anak-anaknya. Anak bongsunya, Sylvia memberitahu bahawa ibunya setiap hari menghabiskan masa berjam-jam menanam dan menyiram bunga di tempat itu hinggalah kematiannya pada tahun 1989. George pula meninggal dunia lebih awal iaitu pada 1969.

Tapak rumah Sodder yang kini taman memorial

  • Menurut George, seorang penjual insurans yang pernah berselisih faham dengannya pernah menyatakan bahawa ‘rumahnya akan terbakar dan kesemua anaknya akan mati’ akibat sikapnya yang gemar memburuk-burukkan Mussolini. Seorang tetamu rumahnya pula, yang katanya ingin mencari kerja, memerhati rumah Sodder lantas memberitahu kotak fiusnya akan menyebabkan kebakaran satu hari nanti.
  • George Sodder bukan saja sekadar menunggu hasil siasatan polis, beliau juga turut melakukan pencarian dan siasatannya sendiri. Pernah sekali, George bergegas ke New York kerana menyangka gadis penari ballet dalam sebuah majalah menyerupai anak perempuannya. Beliau juga menulis surat terus kepada Pengarah FBI waktu itu, J. Edgar Hoover untuk memohon bantuan mereka. George turut pergi ke semua tempat yang dikatakan saksi ada ternampak kelibat anak-anaknya termasuk St. Louis, Houston dan Florida – di mana beliau sempat bertelingkah dengan saudara Jennie, mengatakan mereka menculik salah seorang anaknya. Padahal anak Sodder dan anak kepada saudara Jennie itu secara kebetulan seiras.
  • Keluarga Sodder mengupah penyiasat persendirian untuk mengesan pengirim gambar ‘Louis’ iaitu di Central City, Kentucky. Namun, apa yang pelik penyiasat itu terus menghilang - tidak pernah menghubungi keluarga Sodder untuk memberikan sebarang maklumat dan George gagal mengesan lelaki itu lagi. Ada yangg mengatakan nombor '90132' di belakang gambar tersebut adalah nombor poskod bagi Palermo, Sicily di Itali.

Sylvia Sodder sekarang

  • Sylvia Sodder Paxton, ahli keluarga paling muda adalah satu-satunya anak Sodder yang masih hidup. Beliau meneruskan pencarian dan usaha mengetahui nasib adik beradiknya seperti yg dijanjikan dengan ibu bapanya sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Matinya Si Superman

Kes Glico-Morinaga: Lelaki Raksasa Dengan 21 Wajah

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf