Kes 'the Frog Boys'
Kejadian misteri ini dikatakan sebagai salah satu kes yang menggemparkan seluruh Korea Selatan.
Segalanya bermula pada 26 Mac 1991 dan merupakan cuti sempena pilihan raya tempatan di Daegu. Lima orang budak lelaki - U Cheol-won, Jo Ho-yeon, Kim Yeong-gyu, Park Chan-in dan Kim Jong-sik (berumur di antara 9-13 tahun) bercadang untuk pergi ke Gunung Waryong bagi menangkap katak. Malangnya selepas itu mereka tidak akan kembali ke pangkuan keluarga mereka lagi buat selama-lamanya.
Kehilangan mereka menjadi berita utama dan Presiden Roh Tae-woo mengerahkan 300 ribu orang pegawai berkuasa untuk membantu pencarian budak-budak tersebut – pencarian ini turut ditayangkan di televisyen secara langsung. Sebanyak 8 juta risalah disebarkan dan ganjaran 42 juta won (USD35 ribu) kepada sesiapa yang membantu hingga terjumpanya pelajar-pelajar sekolah rendah itu. Beberapa orang ibu bapa mangsa juga sanggup berhenti kerja demi menemui anak mereka semula. Usaha pencarian kemudiannya diperkembangkan hingga ke seluruh negara, namun berakhir dengan kegagalan.
Rakan sekolah mengadakan kempen 'Frog Boys, Come Home'. |
Orang ramai mula beranggapan budak-budak lelaki itu melarikan diri dan mengembara, ada yang menjangkakan mereka telah diculik dan ada juga yang berpendapat mereka diculik oleh makhluk asing. Tidak lama kemudian filem ‘Come Back, Frog Boys’ ditayangkan untuk memujuk mereka agar pulang ke rumah, walau bagaimanapun tetap tiada sebarang perkembangan hinggalah 11 tahun kemudian…
Pada 26 September 2002, seorang lelaki yang mengutip buah pokok oak (acorn) di lereng gunung menjumpai beberapa cebis pakaian dan tulang-tulang rangka – yang kemudiannya disahkan sebagai milik budak-budak malang itu. Anehnya pihak berkuasa telah pun beberapa kali memeriksa dan mencari di kawasan itu. Tulang mereka menunjukkan seolah-olah mereka semua dalam keadaan berhimpit-himpit sebelum meninggal dunia. Dikatakan pada malam kehilangan mereka, hujan turun dan suhu adalah sangat sejuk. Maka polis menyifatkan kematian mereka adalah disebabkan oleh hipotermia, tanpa mengambil kira hakikat jarak mayat dan rumah mereka hanya 2km sahaja dan budak-budak itu sangat arif dengan kawasan gunung tersebut.
Selain itu tengkorak salah seorang budak didapati berlubang dan beberapa kelongsong peluru bertaburan di sekeliling tulang rangka mereka. Maka keluarga-keluarga mangsa yang tidak berpuas hati, mengesa pihak polis untuk melakukan siasatan secara terperinci dan menyeluruh.
Hasilnya; polis menggambarkan kelima-lima mangsa diikat, kepala dipukul dengan objek berat dan tumpul, salah seorang pula ditembak dan seterusnya mayat mereka dikuburkan secara tergesa-gesa. Apapun orang awam tetap berasa pelik -- betapa dekatnya jarak mayat-mayat mangsa dengan rumah mereka dan kawasan itu telah didatangi dan dicari sebanyak 500 kali oleh pegawai pihak berkuasa dan pakar.
Pada mulanya, had statut kes ini telah tamat pada 2006 – Jika polis berjaya menemui pembunuh budak-budak lelaki itu sekalipun, mereka tidak akan dapat mengheretnya ke muka pengadilan dan menjatuhkan hukuman. Namun memandangkan betapa besarnya kes ini dan cara kematian mangsa yang kejam, kerajaan Korea Selatan telah meminda statut itu pada Julai 2015. Sedikit sebanyak memberikan harapan untuk keluarga mangsa mendapatkan keadilan bagi anak-anak mereka.
Majlis pengebumian diadakan pada tahun 2004 dan tengkorak lima sekawan itu diderma oleh keluarga mereka kepada Universiti Gyeongbuk bagi kajian forensik. Selepas 25 tahun, kes ‘Frog Boys’ masih belum terungkai.
Fakta menarik:
- Gunung Waryong terletak betul-betul di belakang sekolah mangsa-mangsa tersebut. Orang tempatan memanggilnya sebagai naga berbaring barangkali kerana rupa bentuknya.
- Menurut rakan-rakan, bukan katak yang dicari tetapi telur salamander. Wartawan tidak menyukai nama 'Salamander Boys' terutamanya bila diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris, lantas memilih 'Frog Boys'.
- Spekulasi sesungguhnya bertebaran dengan hebat waktu itu - hinggakan ibu bapa mangsa turut dituduh, konon mereka yang sebenarnya membunuh dan menguburkan anak mereka di lereng gunung tersebut.
Ulasan
Catat Ulasan