Kes 'Pontianak Atlas' (the Atlas Vampire)
Gambar hiasan |
Stockholm pada 1930an |
Lilly Lindstrom, 32 tahun, seorang pelacur tinggal berseorangan di sebuah apartmen dalam kawasan bernama Atlas di Stockholm, Sweden – dikenali oleh jiran-jirannya dengan panggilan ‘the call girl'. Ini bukan kerana pekerjaannya yang menawarkan perkhidmatan seks itu, tetapi Lilly adalah satu-satunya penduduk apartmen itu yang mempunyai telefon waktu itu.
Namun tidak lama kemudian, dia akan menjadi terkenal untuk peristiwa yang jauh lebih dahsyat.
Pada 4 Mei 1932, mayat Lilly ditemui tersembam di atas katilnya; dalam keadaan telanjang dan juga tubuhnya ‘kering’ kerana kehabisan darah. Pihak berkuasa yang menemuinya telah dipanggil oleh kawan dan juga teman sepelacuran Lilly, Minnie Jansson. Dia tinggal di tingkat bawah, dan menyedari yang dia sudah beberapa hari tidak melihat kelibat wanita malang tersebut. Ketika pihak berkuasa masuk ke unit apartmen Lilly, mereka turut menjumpai pakaiannya yang dilipat dengan kemas dan diletakkan di atas kerusi bersebelahan dengan katil.
Keadaan katil Lilly di tempat kejadian |
Walaupun kematian Lilly dinyatakan berpunca oleh hentakan objek tumpul pada kepala, tetapi keadaan mayatnya yang kekeringan darah sangat mengesankan pihak polis – lantas menamakan kejadian itu sebagai kes Pontianak Atlas. Bukti-bukti di tempat kejadian menunjukkan Lilly sebelum mati telah melakukan hubungan seks, berkemungkinan besar dengan pembunuhnya. Polis menemui air liur pada leher dan badan Lilly, dan kondom terpakai yang masih berada di dalam duburnya. Mungkin kesan air liur boleh dijelaskan sebagai hasil daripada aktiviti seksualnya tetapi apa pula penjelasan ke atas kehilangan darah Lilly yang begitu banyak? Polis berpendapat senduk kuah yang mempunyai kesan darah dijumpai dalam apartmen itu, digunakan oleh si pembunuh untuk menghirup darah Lilly.
Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai ‘Pontianak Atlas’, tambahan pula tiada lagi serangan/pembunuhan serupa yang dilaporkan selepas itu. Barangkali bukti DNA pasti banyak ditemui di tempat kejadian tetapi pada tahun 1932, sains forensik masih lagi mundur dan ketinggalan. Pihak polis memeriksa seluruh kawasan kejiranan dan menyoalsiasat beberapa orang bekas pelanggan Lilly, tetapi tiada tangkapan yang dibuat. Secara rasminya kes itu tidak dapat diselesaikan.
Beberapa bahan bukti kes Pontianak Atlas telah dikumpul termasuk pembalut kondom, dan dipamerkan di Muzium Polis Stockholm, beserta gambar pelan apartmen Lilly. Beberapa tahun sejak pembunuhan itu, khabar angin bertiup mengenai pembunuhnya yang dikatakan seorang pegawai polis, yang memang tahu bagaimana untuk menutup dan menghilangkan bukti serta jejaknya. Namun teori hanya tinggal teori, lagipun pihak polis mengakui mereka langsung tiada suspek utama. Siapa dan apa identitinya, si Pontianak Atlas dipercayai sudah lama mati selepas 80 tahun lebih berlalu. Melainkan dia benar-benar mahkluk supernatural yang laparkan darah, seperti yang digembar gemburkan oleh sebahagian penduduk Stockholm.
Wikipedia
literarytrebuchet.blogspot.com
Ulasan
Catat Ulasan