KES MISTERI PEMBUNUHAN DI VILLISCA, IOWA




Kes berlaku pada musim panas tahun 1912 di sebuah bandar kecil bernama Villisca di Iowa, Amerika Syarikat. Pembunuhan ini sangat menggemparkan sehingga berjaya menyingkirkan berita Titanic yang tenggelam dua bulan sebelum itu, daripada muka depan akhbar-akhbar utama.




 Pada pagi Isnin 10 Jun, Mary Peckham jiran kepada keluarga Moore menyedari keadaan rumah mereka yang tiba-tiba senyap dan sunyi, tidak seperti hari-hari yang lain. Dengan anak-anak seramai empat orang semestinya rumah dua tingkat tersebut penuh hiruk pikuk dan gelak ketawa. Namun pagi itu sungguh berbeza sekali. Setelah ketukan pintu dan panggilan tidak bersahut, Mary lantas menghubungi Ross Moore iaitu abang kepada ketua keluarga itu, Josiah Moore.


 Setibanya di rumah tersebut, Ross membuka pintu dengan salinan kunci yang diberikan oleh adiknya. Namun entah kenapa tiba-tiba berasa kecut perut untuk memeriksa seluruh rumah tersebut, dia meminta Marshall Henry Horton pula untuk datang. Apa yang pegawai polis itu temui adalah sangat-sangat mengerikan dan menyayat hati - Josiah, 43, isteri Sarah, 39, keempat-empat anak mereka Herman Montgomery,11, Mary Katherine,10, Arthur Boyd, 7, dan Paul Vernon, 5, serta dua orang kawan Mary Katherine, yang juga adik beradik, Ina Mae, 8, dan Lena Gertrude Stillinger,12, mati dibunuh dengan kejam di atas katil masing-masing.

Dari kiri ke kanan, atas: Joseph Moore, Sarah Montgomery-Moore, Herman Moore, Katherine Moore
Bawah: Boyd Moore, Paul Moore, Lena Stillinger, Ina Stillinger


Hasil siasatan polis dan koroner telah membuat gambaran bahawa pada petang Ahad 9 Jun pembunuh bersembunyi di loteng semasa keluarga Moore menghadiri program Hari kanak-kanak di Gereja Presbyterian. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa puntung rokok di loteng tersebut. Kehadiran Ina Mae dan Lena pada waktu itu adalah kerana ajakan Mary, untuk bermain dan bermalam bersama-sama. Di sini pihak polis meletakkan jangka masa pembunuhan berlaku antara pukul 12 malam hingga 5 pagi.

Apabila keluarga Moore dan tetamu kecil mereka nyenyak tidur, berbekalkan kapak kepunyaan keluarga Moore dan cahaya pelita si pembunuh mula-mula masuk ke bilik pasangan suami isteri. Dia menetak Josiah berkali-kali, dan hayunan kapak begitu tinggi hingga meninggalkan calar pada siling bilik itu. Kecederaan yang dialami ketua keluarga itu sangat teruk berbanding mangsa-mangsa lain. Dikatakan wajahnya hancur dan kedua belah matanya hilang. Sarah yang mungkin tidak sedar akan hal yang berlaku ke atas suaminya turut maut menerima tetakan yang bertalu-talu.

Seterusnya, si pembunuh menuju ke bilik anak-anak Moore dan menetak kesemuanya di bahagian kepala hingga mati. Polis berpendapat pembunuh kemudian kembali semula ke bilik utama dan menghancurkan kedua-dua mayat suami isteri tersebut. Darah melimpah dengan banyak hingga memenuhi sebelah kasut di tepi katil mereka. Setelah puas, pembunuh turun ke tingkat bawah dan membunuh adik beradik Stillinger. Polis mempercayai Lena satu-satunya mangsa yang sedar dan terbangun sewaktu kejadian itu berlaku – Ada tanda pergelutan dengan kecederaan mempertahankan diri pada lengannya. Kemungkinan besar juga ada percubaan mencabul ke atas kanak-kanak itu, Lena ditemui dengan gaun tidurnya terselak hingga ke paras pinggang dan seluar dalamnya hilang.

Lakon semula pembunuhan oleh pihak polis


Beberapa orang suspek telah disoalsiasat dan pelbagai teori serta khabar angin oleh penduduk bandar di situ dikemukakan – termasuk motif cemburu, curang dan pedofilia. Salah seorang berjaya dihadapkan ke mahkamah, bukan sekali tetapi DUA kali namun akhirnya dia dilepaskan kerana kekurangan bukti kukuh dan dakwaan keganasan polis. Seratus empat tahun kemudian, kes pembunuhan Villisca masih kekal misteri dan yang pasti si pembunuh hidup bebas dan membawa rahsia gelapnya itu ke kubur.

Kapak yang dipercayai senjata pembunuhan


 Fakta menarik:

  • Selain menyelubung kepala mangsa-mangsanya dengan selimut, pembunuh juga menutup semua cermin di rumah dan kaca pintu dengan kain. Ini dikaitkan dengan adat kematian zaman Victorian iaitu sekiranya ada mayat di rumah, setiap cermin hendaklah ditutup. Mungkin juga pembunuh rasa bersalah – enggan melihat pantulan imej mayat mangsa bunuhnya.

  • Polis menemui daging bacon beku seberat 4 pound disandarkan pada dinding bersebelahan kapak yang digunakan untuk membunuh. Ada sisa makanan di atas meja dapur dan mangkuk berisi air basuhan darah.
  • Kegagalan siasatan mungkin ada kaitan dengan cara pihak polis dan koroner mengawasi tempat kejadian. Menurut seorang saksi walaupun telah diberikan amaran oleh polis untuk tidak masuk ke rumah tersebut, berpuluh-puluh orang jiran dan penduduk bandar berpusu-pusu melihat keadaan mayat keluarga itu dan adik beradik Stillinger. Cap jari bercampur aduk, malah ada yang mengambil serpihan tengkorak Josiah Moore sebagai tanda kenang-kenangan.
  • Gambar-gambar penting tempat kejadian hilang buat selama-lamanya setelah jurugambar yang diupah polis menjual kedai gambarnya termasuk negatif gambar itu sekali. Setelah beberapa kali bertukar tangan, akhirnya seluruh kedai itu terbakar.
  • Rumah keluarga Moore masih wujud hingga kini, dipulihara oleh pasangan suami isteri Darwin dan Martha Linn bermula pada tahun 1994 serta dimasukkan ke dalam US  National Register of Historic Places pada 1998. Rumah itu juga dinamakan sebagai salah satu tempat paling berhantu di Amerika Syarikat dengan para penyiasat paranormal dikatakan berjaya mengesan penampakan roh kanak-kanak dan juga pembunuh misteri itu.



Rumah dan loteng keluarga Moore sekarang

Kubur keluarga Moore
Kubur adik beradik Stillinger





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Matinya Si Superman

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf

Margaret Clement: Si Wanita Paya