Kematian Aneh Zigmund Adamski


Gambar hiasan


Zigmund Jan Adamski dilahirkan pada Ogos 1923 dan menghabiskan hampir keseluruhan usianya di negara asalnya Poland. Kemudian dia mengahwini Leokadia atau lebih dikenali sebagai Lottie, seorang pesakit sclerosis berbilang (multiple sclerosis) pada 1957. Tiga tahun kemudian, pasangan itu berhijrah ke Tingley, sebuah pekan kecil yang terletak berdekatan Wakefield di Yorkshire, England. Dalam 20 tahun berikutnya, pasangan Adamski hidup dengan tenang dan juga mesra dengan orang sekeliling. Namun, peristiwa yang berlaku pada 6 Jun, 1980 akan mengubah kehidupan mereka dan penduduk pekan Tingley.


Zigmund Adamski


Pada pukul 3.30 petang, Zigmund Adamski atau lebih dikenali sebagai “Ziggy” dikatakan sedang berjalan kaki menuju ke arah barisan kedai untuk membeli barang dapur. Waktu itu keadaan kelihatan seperti hari-hari biasa. Adamski sempat menyapa dan bertanya khabar salah seorang jiran sebelum meneruskan perjalanannya. Itu adalah kali terakhir dia dilihat masih hidup. Kehilangan Adamski selama beberapa hari tanpa sebarang pesan sangat luar biasa. Perkahwinan anak angkat perempuannya bakal berlangsung pada hari berikutnya. Lima hari selepas kehilangan Adamski, keluarga dan rakan-rakan lelaki itu menerima berita yang amat menyedihkan – mayatnya telah ditemui oleh Trevor Parker, anak pemilik Limbungan Arang Batu Tomlin di pekan Todmorden, 50 batu jauhnya dari Tingley.


Trevor Parker 



Peta menunjukkan jarak antara Tingley dan Todmorden



Mayat Zigmund Adamski dijumpai pada 11 Jun pukul 3.45 petang, kira-kira lima jam selepas limbungan itu ditutup. Parker dikatakan telah berada di kawasan itu dari pukul 8 hingga 11 pagi dan tidak menyedari sebarang perkara di luar kebiasaan. Polis tiba di tempat kejadian dalam pukul 4 petang sebaik saja menerima panggilan. Konstabel Alan Godfrey memeriksa mayat tersebut sebaik mungkin dan akur akan tuntutan untuk bersikap rasional di dalam kerjanya, menyatakan punca kematian Adamski sebagai serangan sakit jantung. Namun ada beberapa persoalan yang harus dijawab: Sekiranya mati kerana sakit jantung, kenapa posisi mayat terlentang di atas timbunan arang anthracite setinggi 12 kaki? Menurut spekulasi, mayat Adamski seperti dihumban dari atas, kerana tiada bukti dan kesan seseorang naik dan turun pada timbunan tersebut. Kenapa tiada walau serpihan arang pun pada tubuh lelaki itu? Bagaimana pula dia boleh dibuang ke puncak timbunan tanpa dilihat dan disedari sesiapa di waktu tengah hari musim panas?


Mayat Adamski ketika ditemui

Liputan akhbar berkenaan kes yang membingungkan itu


Ketika ditemui, tiada tanda-tanda menunjukkan Adamski pernah tidur di jalanan, dan dia didapati dalam keadaan yang sihat, tanpa kecederaan serius. Malah, tiada bukti berlakunya pergelutan di tempat kejadian.

Walaupun secara luaran mayat Adamski kelihatan berpakaian dengan kemas, baju kemejanya hilang. Begitu juga dengan dompet dan jam tangannya. Polis berpendapat seorang individu lain cuba memakaikan semula pakaian Adamski dan tidak berapa arif melakukannya. Seluar, kot dan kasut lelaki itu dimasukkan dengan sambil lewa, seolah-olah individu tersebut tidak memahami konsep pakaian. Selain itu, bulu-bulu muka Adamski kelihatan baru tumbuh sehari sedangkan dia sudah menghilangkan diri selama lima hari. Rambutnya seperti baru dipotong tetapi terlampau pendek dan tidak sekata. Perkara yang paling aneh adalah tanda lecuran pada leher dan bahunya. Kesemua kesan ini disapu dengan bahan seperti gel yang gagal dikenalpasti jenisnya.


Bekas pegawai polis, Alan Godfrey pada 2018 bersama bukunya


Tiga puluh tahun kemudian Godfrey menulis dalam bukunya "Who or What Were They?", menggambarkan wajah mayat Adamski: “Matanya terbeliak. Dia mati dengan reaksi penuh ketakutan – Takut yang tidak terhingga pada seseorang atau sesuatu.”

Pakar forensik di Royal Halifax Infirmary, Dr Alan Edwards menjalankan pemeriksaan post-mortem di Hebden Bridge pada pukul 9 malam pada hari yang sama. Dr Edwards menganggarkan waktu kematian di antara pukul 11 pagi dan 1 petang pada hari mayat Adamski ditemui, manakala kesan lecur berlaku dua hari sebelumnya. Punca kematian masih sukar ditentukan dengan sah, yang menyebabkan koroner James Turnbull mengambil masa beberapa bulan untuk memasukkannya ke dalam sijil kematian lelaki tersebut. Akhirnya ia ditulis sebagai serangan sakit jantung.

James Turnbull menyifatkan kes Adamski sebagai kes paling misteri sepanjang kariernya


Beberapa bulan selepas kes mayat di limbungan arang, Konstabel Godfrey menerima arahan untuk menyiasat satu laporan pelik: beberapa ekor lembu dikatakan tiba-tiba hilang dan muncul di salah sebuah kawasan perumahan. Ketika itu pukul 5 pagi dan dia dalam perjalanan untuk membuat siasatan, Konstabel Godfrey terserempak dengan sesuatu yang pada mulanya disangka sebuah bas terbalik di Jalan Burnley. Apabila dia memandu lebih dekat, barulah dia sedar objek itu bukan bas seperti yang disangka – Ia berlegar-legar setinggi lima kaki dari tanah. Konstabel Godfrey berkali-kali cuba menghubungi balai polis tempat dia bertugas, tetapi gagal. Memandangkan dia berseorangan di jalan yang sunyi itu, Godfrey memutuskan untuk tidak keluar dari keretanya. Lantas dia melakar objek besar berbentuk berlian yang sedang menghadang jalan.

Namun setengah jam kemudian, Konstabel Godfrey mendapati dirinya tersedar dari tidur. Dia berada di dalam kereta di jalan yang sama, tetapi tapak kasut butnya terkoyak. Godfrey meneruskan pemanduannya dan objek aneh itu sudah lama menghilang. Sekawan lembu yang dilaporkan lesap telah ditemui di sebuah padang yang pagarnya berkunci. Ketiadaan kesan tapak kaki lembu di kawasan berlumpur itu menunjukkan bahawa lembu-lembu tersebut tidak masuk melalui pagar.


Konstabel Alan Godfrey dan lakaran yang menggambarkan UFO yang dilihatnya


Apabila dia melalui proses hipnosis, Godfrey mendapat tahu dirinya telah diheret masuk ke dalam objek terbang (UFO) dan tubuh badannya diperiksa oleh dua entiti. Seminggu selepas kejadian tersebut, pihak media berjaya mengorek kisahnya itu dan akibatnya, Godfrey telah diberhentikan daripada perkhidmatan polis.

Pada tahun 2005, para penyiasat UFO Britain menyoal ahli keluarga Adamski dan yakin lelaki berusia 56 tahun itu adalah mangsa penculikan biasa. Tidak lama sebelum kehilangannya, Zigmund dikatakan terlibat dalam perbalahan rumah tangga salah seorang ahli keluarganya yang tidak didedahkan namanya. Isteri kepada ahli keluarganya itu lari dari rumah dan menumpang di rumah Zigmund dan isterinya, Leokadia. Kebanyakan ahli keluarga Adamski percaya bahawa “Ziggy” telah diculik oleh si suami yang berdendam dan menahannya di sebuah bangsal. Pada saat itulah lelaki tua tersebut mengalami sakit jantung.

Penculikan makhluk asing atau tempat kejadian jenayah terancang?

Adakah penculik Adamski melupuskan mayatnya di tempat yang sudah lama diwarwar sebagai tumpuan UFO dan mengada-adakan tempat kejadian agar Adamski dilihat sebagai mangsa penculikan makhluk asing? Namun sehingga kini tiada siapa dapat menjelaskan fakta-fakta aneh kes tersebut: cara pemakaian semula mayat yang penuh kesilapan, keadaan mayat yang ‘bersih’ walaupun dihumban di puncak timbunan arang, kesan lecur yang berusia dua hari bersama sapuan gel yang tidak dikenali, janggut yang baru tumbuh dalam satu hari, dan kisah seorang pegawai polis yang menyaksikan sendiri kemunculan UFO. Semua ini menyebabkan orang ramai membayangkan punca kematian Zigmund Adamski bukanlah semudah seperti yang disangka.



historicmysteries.com
examinerlive.co.uk

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Matinya Si Superman

Misteri Pembunuhan Keluarga Wolf

Margaret Clement: Si Wanita Paya